“Hara, duit ada lagi, kan? Umi tak dapat nak
bagi Hara bulan ni. Kereta rosak lagi,”
keluh ibunya perlahan ketika mereka bercakap di telefon pagi tadi.
Hara tidak mahu ibunya mengetahui keadaan
masalah kewangannya di sini. Duit yang
dikatakan masih ada itu adalah duit pinjaman pelajarannya. Tetapi duit itu masih belum diterimanya. Begitu
juga dengan gaji dari pekerjaan sambilannya.
Sebaik sahaja sesi kelasnya itu tamat,
Hara segera keluar. Dia berjalan dengan laju
menuju ke tempat di mana terdapat mesin pengeluaran wang, ATM.
Namun harapan hanya tinggal harapan. Sistem komputer bank tidak dapat bertukar
dengan sekadar harapannya yang kosong itu.
Kenyataannya, baki duit simpanannya memang menyedihkan bagi sesiapa yang
melihatnya. Malah boleh dikatakan amat
memalukan sebagai seorang penuntut kolej ini.
“Alamak! Dah lambat.” Dia melihat ke
arah jam.
Kerana fikirannya melayang-layang, tanpa sengaja dia telah
terlanggar satu pasangan. Telefon bimbit
si pemuda itu telah terjatuh.
“Hurg!” Berderau darah
Hara melihat telefon mahal itu melantun ke lantai.
“Buta ke?!” jerit si gadis kepadanya.
Hara
tergamam seketika sebelum tersedar lalu menunduk untuk mengambil semula telefon
bimbit tersebut.
“Bang!” Kepalanya dan kepala pemuda itu berlaga.
“Argh!” Mereka
sama-sama mengaduh.
Rupa-rupanya
mereka berdua berniat hendak mengambil telefon itu dalam masa yang sama. Akibatnya kepala mereka bertembung.
“Ssorry. Sorry,” ucap Hara.
Kepalanya yang sakit dipegang dengan sebelah tangan. Pemuda itu tidak menjawab, sebaliknya hanya
meneliti ke arah telefon bimbitnya itu.
Sambil sebelah tangannya sama seperti Hara. Masih memegang bahagian kepala yang terantuk
tadi.
“Kau tahu ni handphone latest model,
kan? Bayar!” sergah gadis itu lagi.
“Gulp.” Hara tertelan air liurnya sendiri.
“Saya.. saya tak sengaja, saya…” Dia
merayu.
Tidak
mungkin dia mampu untuk membayar harga telefon bimbit itu.
“Thanks,
sebab tolong saya," ucap pemuda itu.
“Huh?” Hara dan gadis itu sama-sama terkejut.
“Dia cakap thanks kat aku? Biar betul…” desis hatinya.
“Sayang!” Suara gadis itu mulai kuat.
“Sebenarnya saya tak pernah sukapun phone ni. So,
kira awak dah tolong saya kali ni,” ujar pemuda itu lagi.
Sekali lagi
dia tersenyum kepada Hara sambil dengan ringan, tangannya melemparkan telefon
bimbit itu masuk dengan tepat ke dalam tong sampah berdekatan.
“Hurg?” Hara tidak percaya akan
telinga dan matanya.
“Sayang!” jerit gadis itu.
Pemuda itu langsung tidak mempedulikan jeritan teman wanitanya
itu. Sebelum berpaling pergi, dia masih sempat
lagi mengenyitkan mata nakalnya ke arah Hara.
Lara menghampiri
tong sampah tadi. Kepalanya dijengukkan
ke dalam tong itu. Terdapat banyak
kertas slip daripada mesin ATM berdekatan di dalamnya.
“Sayangnya…” keluhnya sendiri.
“Mesti boleh pakai lagi, ni. Kalau rosakpun, mesti boleh baiki lagi. Kenapalah diaorang mesti nak membazir?”
Teragak-agak,
dia mengutip telefon itu lalu dibersihkan.
Dia berlari ke arah di mana pasangan tadi tuju.
“Betul ke dia buang phone
ni sebab tak suka?” ragunya.
Sikap
bongkak pemuda tadi kembali menjelma di mindanya. Dia melihat ke arah telefon bimbit itu dengan
sedih. Lantas dia
mencubanya dengan memasukkan kad sim miliknya ke dalam telefon itu. Dia mahu pastikan ia benar-benar boleh
digunakan.
“Yess!”
Dia gembira.
Telefon
bimbit itu nyata masih boleh berfungsi dengan baik. Biarpun ianya bukan
miliknya, entah mengapa dia rasa bersyukur yang amat.
“Alamak, kelas!” Dia teringat tiba-tiba.
“Mati aku, mati aku.” Perutnya
terasa kecut.
Langkah Hara semakin melaju.
Ketika melintasi tepi kawasan meletak kereta pelajar, dia ternampak
kelibat pemuda yang membuang telefon bimbit tadi.
“Huh? Dia ke tu?” Dia menajamkan penglihatannya.
Pemuda itu kini
sedang menuju ke arah keretanya. Teman
wanitanya tidak pula kelihatan ada bersama.
“Wait! Awak!
Tunggu!” jeritnya sambil berlari.
Itulah
pilihannya. Dia tidak mahu terus
memegang telefon bimbit milik orang lain. Pemuda itu yang sudah sebelah kakinya berada di dalam kereta,
segera berpaling ke arahnya.
“Huh! Huh!” Nafas Hara
termengah-mengah.
“Awak cakap dengan saya ke?” Pemuda itu
hairan.
“Takdelah saya cakap ngan kereta
awak.” Laju ayat itu dituturkan Hara.
Pemuda itu
segera berwajah sinis. Seakan tidak berminat dengan lawak bodoh gadis yang
tidak dikenalinya itu. Dia lantas berpaling untuk masuk ke keretanya.
“Thanks
sebab tak salahkan saya tadi. Tapi, nah,
masih boleh pakai lagi. Tak baik
membazir.”
“Kan saya dah kata…” Pemuda itu masih
cuba beralasan.
“Kalau awak tak nakpun, bagi pada
orang,” potong Hara.
Melihat reaksi pemuda itu yang seperti tidak mahu
menerimanya, Hara lantas meletakkan telefon itu ke dalam saku jaket pemuda
itu. Ternyata tindakan spontannya itu
memeranjatkan pemuda tersebut.
“Tanggungjawab saya dah selesai. Sekarang terpulang pada awak,” ujar Hara.
Lantas dia
segera berpaling untuk pergi. Setelah
keluar dari kawasan letak kereta itu, tiba-tiba dia teringat akan sesuatu.
“Sim card aku!” Dia
mula panik.
Serta merta
langkahnya terhenti. Apabila berpaling,
kereta pemuda itu sudahpun mula berundur untuk keluar dari kawasan itu.
“Aish!” Nyata dia kecewa dengan
kecuaiannya sendiri.
Sekali lagi
dia terpaksa berlari mengejar kereta itu.
“Stop!!”
jeritnya.
Pemuda itu terpaksa memberhentikan keretanya dengan
mengejut. Hara berdiri betul-betul di
tengah-tengah jalan sambil mendepakan kedua-dua tangannya. Ala-ala gaya Kate
Winslet dalam filem Titanic. Bezanya, Kate membuat gaya itu di atas kapal mewah
dengan cuaca dingin malam . Dia pula berada di tengah jalan, bawah cahaya
matahari tengahari yang memancar terik.
“Yess!"
Hara seronok kerana tektiknya berjaya.
“Nak mati ke?!” jerit pemuda itu.
“Siapa kata aku nak mati,” ngomel
Hara sendiri.
Tanpa
membuang masa, dia segera berlari menghampiri pemuda itu melalui tingkap kereta
yang sudah diturunkan itu.
“Sorry,
sorry. Tadi saya test phone
tu. Lupa nak keluarkan sim card saya
balik,” terang Hara berpeluh-peluh.
“Ambik sendiri,” ujarnya.
Hara
terpinga-pinga tidak memahami. Pemuda
itu lantas menunjukkan ke arah tempat duduk penumpang di sebelah pemandu. Tempat di mana telefon bimbit tadi di
campakkan.
Hara berlari anak menuju ke arah
pintu bahagian penumpang hadapan itu.
Apabila pintu kereta dibuka, dia terkejut kerana kedudukan telefon
bimbit itu sudah berubah. Kini ianya telah
dialihkan ke atas dashboard
berhampiran dengan pemandu.
“Tadi bukan ke phone tu kat atas seat?”
Dia merasa hairan.
“Aku salah tengok kot.” Dia
menyedapkan hatinya sendiri.
“Cepatlah!” gesa pemuda itu.
Tidak ada pilihan, Hara terpaksa
juga duduk di kerusi penumpang itu.
Tangannya cuba mencapai telefon bimbit terbabit. Sebaik sahaja dia duduk, tiba-tiba pemuda itu
telah menekan minyak keretanya.
“Awak!” jerit Hara.