Daripada
corong pembesar suara, kedengaran jelas sekali suara kapten yang sedang
mengemudi pesawat. Kapten itu menyatakan yang mereka akan mendarat sebentar
lagi ke bumi Seoul.
Akhirnya...
Nada dan kata-kata juruterbang
itu sebenarnya kedengaran biasa sahaja. Namun tidak bagi seorang gadis yang sepanjang
pernerbangan asyik menggelisah. Kata-kata juruterbang yang amat dinanti,
kedengaran begitu lunak merdu sekali pada pendengarannya. Seperti seorang gadis
mendapat panggilan daripada sang kekasih hati.
I love you, Captain.
Senyumannya sudah tidak dapat
di hapuskan daripada wajah terujanya.
Penantiannya
yang amat panjang, hampir berakhir. Sepanjang penerbangan dia tidak dapat
melelapkan mata. Novel kesayangan di tangan, ditutup dengan cermat sebelum
memasukkannya ke dalam beg silang miliknya. Memang menjadi tabiatnya akan
membawa novel kemana saja dia pergi. Apatah lagi jika novel itu memang
diminati.
Maaf ya novel, lain kali aku baca kau semula.
Buku cerita itu sudah pernah di
baca lama dahulu. Itupun dipinjam daripada teman sekolah. Sudah lama dia mencuba untuk mendapatkan
naskah novel itu. Namun sebagai novel lama, ia bukanlah mudah untuk didapati.
“Wow! Bestnya!”
Dia teruja sewaktu pesanan
novel ini sampai ke tangan. Ianya tiba sehari sebelum dia berangkat. Kini,
apabila ianya sudah berada dalam genggaman, agak lucu kerana dia terpaksa
mengulang membaca beberapa kali bab yang sama.
Apa yang aku baca tadi, ek?
Ternyata dia seakan tidak dapat
menumpukan perhatian. Terlalu teruja barangkali dengan kepulangan ke Seoul ini yang
tidak diketahui oleh keluarga di sini.
Mesti dia orang terkejut.
Hehe.
Tiba-tiba
penumpang wanita tempatan yang duduk di sebelahnya, menegur. Oleh kerana dia
antara penumpang yang paling akhir masuk ke pesawat ini, Lara tidak sempat
berkenalan dengan wanita itu. Sebaik dia mengambil tempat duduk, wanita di
sebelahnya itu sudah kelihatan amat letih. Sepanjang penerbangan wanita itu
lena. Terjaga hanya untuk ke tandas sahaja. Ketika makanpun, wanita itu seperti
tidak berminat hendak bersembang.
"Datang
melancong ke sini?"
Wanita itu bertanya dalam Bahasa
Inggeris.
"Oh, tak. Keluarga saya orang sini."
Dia membalas sambil tersengih.
Wanita itu terkedu apabila mendengar dia berbahasa Korea.
Seronoknya dapat cakap Hangul balik hehe.
“Keluarga...
orang sini?”
Wanita itu bertanya kembali
dengan hairan. Mulutnya terkumat-kamit seakan mahu bertanya dengan lebih lanjut
tetapi tidak jadi apabila Lara buat-buat sibuk mengemas barangannya. Dari
hujung ekor matanya dia melihat wanita itu masih memandang ke arahnya.
Nape? Tak percaya?
Hehe.
Tak payah hairan lebih-lebih, saya ni memang pelik sikit.
Tindak balas demikian rupa
memang sudah biasa dihadapinya semenjak kecil. Ibunya, Tina yang berbangsa
Amerika telah berkahwin dengan orang Korea yang menetap di New York. Sang Woo
sudah dianggap seperti bapa sendiri dan amat disayanginya. Salah faham seperti
ini bertambah sering berlaku apabila dia berpindah ke Seoul dan dijagai oleh
neneknya, Puan Mijin iaitu ibu Sang Woo.
“Home sweet home.”
Lara
menghirup udara di bumi Seoul yang amat dirinduinya. Selepas bertahun-tahun berhempas pulas, akhirnya kini dia berjaya.
Bukan senang untuk dia mengharungi segala rintangan dan kepayahan demi
mendapatkan ilmu di kota Milan. Selepas habis belajar di kolej, dia mendapat
tempat untuk membuat latihan praktikal di salah sebuah syarikat fesyen terkemuka
dunia di Kota New York. Berdekatan dengan orang tuanya. Namun begitu memang dia
sengaja tidak membuat latihan praktikal di syarikat kepunyaan ibunya sendiri. Malah
selepas tamat latihan, kerana kecemerlangannya, dia ditawarkan jawatan tetap di
situ. Dan dia telah menerimanya kerana beberapa sebab.
“What?!”
Dan kerana keputusannya itu,
ada seseorang yang merajuk sekali lagi dengannya.
Sepanjang
tempoh pembelajaran dan bekerja di syarikat gergasi itu, terlalu banyak keringat
dan airmata mengalir jatuh. Setimpal dengan segala ilmu berguna yang dapat
dikutipnya. Berkat ketabahan dan usahanya yang tidak mengenal erti berputus
asa, kini dia sudah bersedia untuk mempraktikkan segala ilmu dan pengalaman
berguna yang telah dipelajari. Dia bakal menerajui perniagaan fesyen ibunya di
sini.
“I’ll guide you. But only for three years.
After that, you on your own. I’ll be your
sleeping partner.”
“Tiga tahun
je?”
Lara sedikit gusar. Namun Tina
memang tegas dalam mengajar anak tunggalnya ini membina kerjaya. Kerjaya yang
mereka sama-sama cinta, iaitu fesyen pakaian.
“My Princess mesti boleh buat.”
Sang Woo memberi semangat. Lara
hanya mampu tersenyum kurang gula.
“Halmum
mesti akan marah lagi nanti, hehe.”
Halmum adalah panggilannya
untuk ibu Sang Woo, Puan Mijin. Ianya diubah daripada perkataan halmeoni yang bermaksud nenek. Dia hanya
memanggil nenek tua itu ‘halmeoni’ pada waktu kecemasan sahaja. Biasanya
apabila dia merayu kerana mahukan sesuatu.
Setelah
kesemua bagasinya selesai dimasukkan ke dalam teksi, dia merasa tidak sabar
lagi untuk sampai ke rumah dan menerjah masuk bagi memeranjatkan ahli keluarga
yang lain. Walaupun merasa teruja untuk menemui ahli keluarga, di dalam diam ada
sedikit rasa sedih bersarang di dalam hatinya. Akan ada seorang yang tidak
berada di rumah itu bagi menyambut kepulangannya nanti.
“Saya dah
balik,” bisiknya pada angin lalu.
Moga angin itu akan membawa
bisikannya itu terbang kepada manusia yang paling dirindui oleh hatinya.
MINHO.
Budak Lelaki Kegemaran
sepanjang hidupnya sehingga kini. Biarpun Minho kini sebenarnya sudah menjadi lelaki dewasa. Tetapi bagi Lara, Minho tetap kekal sebagai
Budak Lelaki Kegemarannya.
“Mine... Miss you.”
Entah bilakah wajah yang
dirinduinya itu akan dapat ditemui semula.