Sunday, 29 December 2013

AKU SUKA DIA - 3

 
 Hujan sudahpun turun renyai-renyai. Cuaca menjadi semakin dingin. Suasana malam kelihatan semakin suram. Restoran mamak dan kedai kopitiam juga lengang daripada biasa. Tidak ramai orang yang suka keluar pada waktu begini. Kebanyakannya mungkin lebih suka duduk bermalasan di dalam rumah sahaja.

Jika ada pilihan, Hara juga mahu segera berada di bawah selimutnya. Paling tidak duduk di hadapan komputer membuat kerja sambil mengenakan satu mug air coklet panas. Namun apakan daya, takdir seakan mengikat dia bersama pemuda di sebelahnya. Buat kedua kalinya dia terperangkap di dalam kereta ini.

Kerana hujan yang sudah mulai menitis tadi, pemuda itu dengan selamba, telah mengangkut basikalnya ke dalam bonet.  



“Eh, awak nak buat apa tu?” Dia risau.

“Masuk dalam kereta,” arah pemuda itu.

“Kita, kita selesai kat sini je lah,” rayunya.

“Dahlah buat kereta saya kemek. Now, nak suruh saya berhujan pulak? Awak siapa?” Suara pemuda itu mula meninggi.

Tergamam mendengarkan nada suara itu, Hara tidak ada pilihan. Memang dia yang bersalah kali ini. Salah yang lebih besar. Biarpun daripada mata kasar ianya adalah kemalangan. Tetapi jika dia lebih berhati-hati tadi, In Sya Allah dia sudah sampai rumah dengan selamat.

Dengan teragak-agak, dia masuk ke dalam kereta itu dan duduk di sebelah tempat pemandu. Pemuda itu lantas memecut keretanya dengan laju.  

“Dia ni memang racer ke? Drive mesti macam nak drift.” Hati Hara terdetik.
Mereka kini berhenti dan menumpang di bawah bumbung stesyen minyak berdekatan. Basikal Hara masih berada di dalam bonet kereta yang tidak dapat ditutup itu.

“Saya tanya ni, macamana awak nak bayar?” soal pemuda itu.
Itu adalah pertanyaanya yang kedua kalinya.  

 “Saya, saya betul mintak maaf. Saya tak sengaja...” Hara membalas perlahan.

 “Huh!” Pemuda itu sinis.

Hara tunduk memandang sampul surat besar berisi tugasannya yang sudah koyak rabak dan kotor. Sebahagian isi di dalamnya yang bertaburan tadi juga sudah kotor dan lembab. Jari jemarinya yang masih menggeletar itu menguis-nguis hujung sampul surat itu.

 “Saya tak mungkin mampu bayar awak sekarang. Saya...” Hara mati ayat.
 “Habis tu, sekarang macamana?” suara pemuda itu agak keras.

 “Saya.. saya...” Suaranya bergetar.

Dalam keadaan begini apalah yang dapat dilakukan oleh gadis yang malang sepertinya. Tidak mungkin dia dapat membayar pemuda itu. Tidak ada sesiapa juga yang boleh dia meminta tolong untuk menjelaskan bagi pihak dirinya.

 “Abah.. tolong Hara...” serunya di dalam hati.

Namun kenyataannya, orang yang diseru itu, tidak mungkin lagi akan dapat menolongnya. Masa sudah berubah, keadaan juga sudah lama tidak sama.

Perasaan gementar, bersalah dan juga sebak kini bercampur baur. Tanpa dapat dikawal, airmatanya mula menitis laju. Hara cuba sedaya upaya menyapu airmatanya sambil memandang ke arah luar. Namun sendunya tidak mungkin dapat disembunyikan.
“Tolonglah jangan nangis,” tegas pemuda itu.
“Hish!” degusnya.

Pemuda itu lantas sekali lagi menyandarkan badannya ke tempat menyandar dengan agak kasar. Buku limanya digenggam rapat lalu stereng kereta menjadi mangsa yang tidak berdosa. Ternyata dia memang tidak suka melihat perempuan menangis di hadapannya.

 Suasana di dalam kereta itu menjadi hening seketika. Di luar sana hujan yang turun masih lagi lebat.  

 “Saya akan cuba bayar awak. Tapi...” Hara kembali bersuara.
Suaranya masih kedengaran bergetar.

“Saya cakap betul, saya tak mampu bayar awak sekarang. Saya betul-betul tak mampu,” tambahnya lagi.

Pemuda itu tidak menjawab. Hara juga tidak berani memandang ke arahnya. Agak lama pemuda itu mendiamkan diri. Perut Hara semakin kecut.

 “Apa ni?” soal pemuda itu.

Sampul surat yang berada di atas riba Hara dicapai tanpa keizinan. Hara tidak berani untuk menghalang.  

“Hara? Siapa Hara? Awak?” soal pemuda itu lagi.

Hara hanya menganggukkan kepalanya. Namanya yang terdapat pada sampul surat yang koyak itu masih boleh dibaca.

Tanpa dapat berkata apa-apa, Hara hanya mampu melirik sesekali melihatkan pemuda itu mengeluarkan isi sampul itu dan membelek-beleknya.

“Apa ni?” soal pemuda itu lagi.
Jelas dia mungkin tidak faham apakah kaitan isi kandungan sampul itu dengan gadis seperti Hara. Hara tidak terkejut dengan soalan itu.

“Kerja,” balas Hara perlahan.

“Kerja?” Pemuda itu tidak puas hati.

Hara sekali lagi menundukkan wajahnya.

“Saya kerja part time,” jawab gadis itu.

Merasakan yang pemuda itu masih memandangnya, maka dia menyambung,

“Tiap-tiap hari saya kena taip semula dokumen-dokumen macam ni,” terang Hara.

Pemuda itu kembali terdiam. Dia memandang Hara dan dokumen di tangannya silih berganti. Seakan mencari kebenaran atau logiknya kata-kata Hara itu. Mungkin dia juga kini seperti orang lain. Tertanya-tanya bagaimana pelajar yang sama kolej dengannya, kena membuat kerja sambilan?

Tidak berapa lama selepas mendiamkan diri, tiba-tiba pemuda itu membuka pintu kereta di sebelahnya.

“Tunggu sini,” arahnya.

Hara hanya mampu memandang pemuda itu menghilangkan diri di sebalik bangunan kedai serbaneka stesyen minyak itu.
“Ke tandas ke dia?” Hara tertanya-tanya sendiri.

Ketika itu timbul akal jahatnya.
“Kalau aku lari, sempat ni.” Matanya bersinar.
“Tapi basikal kat belakang, cam berat je nak angkat turun.” Dia berpaling ke arah belakang.

“Astagfirullahaladzim.. tak baiknya aku.” Dia sedar semula.

Sedar yang dia harus bertanggungjawab biarpun pahit untuk dihadapi.
Fikirannya kembali memikirkan apakah yang harus dilakukan bagi membolehkan dia menjelaskan tuntutan pemuda itu. Dadanya masih sesak, perasaannya kembali sebak. Kereta semewah BMW ini pasti akan menelan ribuan ringgit apabila dibaiki. Walaupun rosaknya tidak setara mana. Jikapun dia bernasib baik majikannya membayar habis upah tertunggaknya, pasti tidak dapat banyak membantu. Lagi pula dia memerlukan upahnya itu untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan hariannya.

Apabila dugaan-dugaan yang datang bersilih ganti ini terjadi, keteguhan semangatnya menjadi goyah. Tipulah jika dia mengatakan yang dia tidak pernah berfikir untuk berhenti daripada kolej. Namun kerana janji dan harapan orang yang tersayang, dia harus bertahan sedaya mungkin.

“Kalau kita sabar, In Sya Allah ada jalan.” 

Kata-kata semangat itulah yang terus menyabarkan dirinya selama ini.
Tiba-tiba pintu kereta di sebelah pemandu dibuka seseorang. Tuan punya kereta masuk semula ke dalam keretanya. Barulah Hara perasan yang agak lama juga pemuda itu menghilang.
“Nah,” kata pemuda itu.

Tangannya menghulurkan sekotak air minuman kepada Hara beserta dengan krim sapu berubat untuk luka luaran. Rupa-rupanya matanya yang tajam itu telah dapat mengesan beberapa luka di tangan gadis itu. Mungkin luka semasa jatuh di atas jalan raya tadi. Dengan teragak-agak, Hara mengambil barang-barang tersebut. Malah hati kecilnya turut merasa terharu.

Thanks,” balasnya perlahan.

“Minum,” arah pemilik kereta itu.

Hara menurut perintah itu tanpa berani untuk membantah.

“Banyak mana awak dapat taip benda setebal tu?” tanya pemuda itu.

Dia merujuk kepada dokumen tebal di atas riba Hara.
“Tak tentu. Cepat siap, In Sya Allah dapatlah lebih,” balas Hara jujur.

“Tapi.. ni dah rosak.. kotor...” Suaranya bertambah perlahan.

Tangannya menggosok-gosok dokumen yang sudah kotor dan sedikit terkoyak itu. Melihat akan keadaan dokumen itu, menyedarkan dia akan kenyataannya. Satu lagi masalah bakal dihadapinya esok.

“Silap gaya dia takkan bayar aku langsung,” keluhnya dalam diam.

Dapat dibayangkan bagaimana nanti majikannya itu akan naik angin. Harapannya yang berkobar-kobar tadi untuk mendapatkan upah yang lebih, kini hanya tinggal sejarah.

Melihat akan gadis di sebelahnya itu tenggelam dalam lamunan, membuatkan pemuda itu kembali bersuara.
 
“Kenapa? Kena tolak upah awak ke?”

Kata-kata itu sebenarnya hanyalah kata-kata gurauan. Namun apabila melihat anggukan lemah daripada Hara, dia terpaku. Dengan serta merta ianya telah memadamkan senyuman daripada wajah tampannya.

Keadaan hujan di luar sana sudah mula beransur reda. Manusia di dalam kereta itu pula, kini kembali membisu seribu bahasa. Hara seumpama seorang pesalah yang sedang menunggu hukuman apakah yang bakal dijatuhkan ke atasnya.

“Awak, saya mintak maaf sekali lagi pasal kereta ni. Tapi terus terang saya cakap, saya mungkin terpaksa hutang awak bertahun-tahun...” ujar Hara lemah.

“Bagi phone awak,” pintas pemuda itu.

“Huh?” Hara hairan.

Tetapi tanpa membantah, telefon bimbitnya dikeluarkan. Kemudian dihulurkan kepada lelaki di sebelahnya itu.

Phone saya ni murah, tak ada harga pun kalau awak nak jual,” ujar Hara.

 “Hai, phone zaman bila awak pakai ni?” Pemuda terasa lucu.

Sudah lama benar dia tidak melihat telefon bimbit jenis lama seperti kepunyaan Hara itu. Malah dia sudah terlupa yang telefon bimbit model seperti itu pernah wujud satu ketika dahulu. Memang sekarang rasanya ia sudah tidak ada lagi di dalam pasaran.

“Hmm...” Pemuda itu merenung ke arah telefon bimbit itu.

Berkerut juga dahinya cuba mengingati cara penggunaan telefon bimbit itu. Hara memerhati tanpa bersuara. Setelah dapat apa yang dicari, pemuda itu terus menekan butang-butang pada permukaan telefon itu.

“Grrr.. grrr.. grrr...” Bunyi telefon bimbit pemuda itu kedengaran.

“Ini nombor dan nama saya. Call saya esok. Kita akan tahu cara awak boleh bayar ganti rugi,” kata pemuda itu.

Dengan wajah yang redup, Hara mengambil semula telefon bimbit miliknya itu. Dia sempat melihat nombor dan nama pemuda itu.

“Ian Zachry,” bacanya di dalam hati.
Kemudian dia meminta diri untuk beredar dari situ.

“Tapi saya nak mintak tolong awak turunkan basikal saya tu,” pinta Hara.

“Huh...” Ian Zachry mengeluh.

“Tak, tak apalah. Saya turunkan sendiri,” Hara salah sangka.

Wait!” Tiba-tiba pemuda itu bersuara.

Hara yang sudah membuka pintu, segera berpaling.

“Tutup pintu,” arah pemilik kereta itu.

 Walau agak keberatan, Hara menurut. Namun apabila kereta itu mula bergerak, Hara menjadi panik.

“Awak, saya kena balik,” rayu Hara.

“Tunjuk jalan,” kata pemuda itu.

Barulah Hara sedar yang pemuda itu sebenarnya berniat hendak menghantarnya pulang. Seperti dapat membaca apa yang sedang berlegar di fikiran Hara, Ian Zachry bersuara sambil terus memandu.

“Dah lewat sangat ni. Bahaya,” tegas pemuda itu.

“Kat gas station tadi, sah orang dah nampak kita dua. Apa-apa jadi kat awak tengah jalan, tak pasal-pasal karang, saya kena tuduh,” luah pemilik nama Ian Zachry itu.

Mendengarkan kata-kata pemuda itu, Hara terasa sedikit lega. Sebenarnya dia juga agak takut bersendirian di luar pada waktu lewat sebegini. Tetapi tadi, jika tidak ada pilihan, dia terpaksalah bertawakkal.

Ini adalah kali pertama Hara memberitahu di mana dia tinggal kepada seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

“Betul ke apa yang aku buat ni?” Dia ragu-ragu.

Selama ini hanya Fajar seorang sahaja pemuda yang tahu di mana dia tinggal. Sudah beberapa kali pemuda itu mengambil dan menghantarnya pulang.
 
“Okey, stop,” ujar Hara.

Seperti diminta, Ian Zachry segera memberhentikan keretanya di hadapan deretan rumah teres dua tingkat. Dia turut menurunkan basikal Hara dari dalam bonet keretanya. Walaupun Hara tidak nyatakan, dia tahu gadis itu bersedih melihat keadaan basikal itu yang rosak.

Thanks,” ucap Hara.

“Bersih dulu luka-luka tu, baru sapu ubat,” pesan Ian Zachry.

Hara hanya mengangguk dan mengucapkan terima kasih sekali lagi.
 
“Masuklah.” Pemuda itu mahu memastikan Hara selamat hingga ke hadapan pintu.
"Tak apa, awak jalanlah dulu. Tak elok orang tengok kita lama kat sini,” balas Hara.

Ian Zachry segera memahaminya lalu segera beredar dari situ.

Selepas kereta pemuda itu hilang dari pandangan, Hara segera melajukan langkah mengheret basikal rosaknya. Dia tidak menuju ke salah sebuah rumah di tempat yang diturunkan Ian Zachry. Sebaliknya ke blok belakang.

Sorry, Ian Zachry. Kita baru kenal. Awak tak boleh tahu yang mana satu rumah sebenar saya,” kesalnya.

Jauh di sudut hati, dia merasa sedikit bersalah kerana telah menipu pemuda itu tadi.

 


Saturday, 12 October 2013

AKU SUKA DIA - 2



 



Sudah penat dia merayu minta diturunkan dari kereta itu.  Ternyata pemuda di sebelahnya itu langsung tidak mengendahkan permintaanya. Kalau diikutkan hati, boleh saja dia menarik brek tangan kereta ini. Tetapi dia masih waras. Kelajuan kereta ini menghalangnya. Dia sedar dan tahu tindakan itu boleh menyebabkan mereka berdua terlibat dengan kemalangan jalanraya yang serius.

"Saya nak cepat.  Don’t worry, awak boleh pergi bila kita dah sampai nanti." Pemuda  itu berkata selamba.

Pelik bin ajaib, dia boleh percayakan cakap pemuda yang langsung tidak dikenalinya ini.  Pada hal dia tahu dia tidak sepatutnya begitu. Malah sebelum ini dialah orangnya yang amat susah hendak percayakan orang.

            “Hospital?” desisnya tiba-tiba.

Hara mula kehairanan apabila pemuda itu membelokkan keretanya memasuki perkarangan salah sebuah pusat perubatan terkenal di ibu kota ini.  Hospital swasta yang berprestij.

"Jom," ujar pemuda  itu.

Kereta diletakkan di tempat letak kereta bawah tanah. Terkedu dan kehairanan, Hara mengikutnya keluar daripada kereta.  Mereka memasuki ruang lobi hospital terbabit.

            "Kalau awak nak balik dulu, silakan.  Kalau tunggu kat sini, saya antar awak balik," ujar pemuda itu lagi.

Belum sempat Hara menjawab, pemuda itu sudah melangkah pergi dengan tergesa-gesa.  Hara melihat pemuda itu melangkah ke arah lif yang menuju ke bahagian wad-wad pesakit.

            "Siapa yang sakit?" Hatinya tertanya sendiri.

            Selepas bayangan pemuda itu lesap, perlahan-lahan Hara melangkah keluar dari lobi dan menjenguk ke arah jalan besar. Wajahnya seperti orang yang tidak bersemangat.

"Boleh tahan jugak jam," keluhnya.

Fikirannya sibuk membuat pengiraan.  Dia mengira berapakah tambang akan dikenakan ke atasnya jika dia mengambil teksi untuk pulang ke kolej. 

"No, no. Tak mampu aku."

Kemudian dia melihat jika terdapat bas yang melalui kawasan itu.  Setakat ini, masih belum kelihatan lagi.  Lantas dia mengambil keputusan untuk bertanya kepada kekitangan hospital itu.

"Terima kasih," ucapnya.

"Sama-sama," balas jururawat itu.

Memang ada bas tetapi bukan di sini.  Dia harus berjalan agak jauh untuk ke tempat menunggu bas.  Tetapi bas itu hanya menuju ke arah pusat bandar sahaja.  Bermakna apabila tiba ke pusat bandar, dia harus mengambil bas lain pula kerana kolejnya terletak di laluan berlainan.

            "Fuhh…" Dia melepaskan nafas yang berat.

            Hara berpaling dan memandang semula ke arah bahagian dalam lobi hospital.  Itu adalah pilihan ketiga baginya. Untuk pilihan ini, perasaan ego dan marahnya harus dibelakangkan.

"Kalau tunggu kat sini, saya antar awak balik."  Kata-kata pemuda itu tadi kembali terngiang-ngiang di telinganya.

Buat seketika dia mundar-mandir di luar lobi itu sambil berfikir. Membelakangkan rasa ego dan marah memang senang diucap. Tetapi agak berat untuk dibuat.

“Nasib aku kena jimat duit. Kalau tak, tak ingin aku tengok muka dia lagi,” gumamnya sendirian.

Sekali lagi dia membuat tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini.  Mempercayai kata-kata pemuda itu.

            “Aku gila...” ngomelnya sendirian.

Satu jam telah berlalu.  Hara masih duduk di sofa empuk yang sama di lobi itu.  Dia menyibukkan diri dengan buku nota yang berada di dalam begnya. Sekali-sekala dia memerhati jika kelibat pemuda tadi muncul. Hampa. Dia kembali kepada buku notanya.

"Awak percaya saya?"  Tiba-tiba ada satu suara menegurnya.

Hara mengangkat muka.  Rupa-rupanya pemuda itu sedang berdiri memandangnya.  Kemudian turut mengambil tempat di sofa sebelah Hara.

            “Dia ni jin ke apa? Tadi aku tengok, tak ada. Tiba-tiba je muncul,” desis hati Hara.

            "Tak terfikir ke kalau saya tipu?  Saya keluar sembunyi-sembunyi ke?"  soal pemuda itu.

Hara tidak tahu apa harus dikatakan.

            "Atau kalau lepas ni saya bawak awak lari entah mana-mana ke?  Berani awak ikut saya semula?" Pemuda itu terus menakutkan Hara.

Gadis itu masih mendiamkan diri.

"Saya ni bukan baik sangat…" tambah jejaka itu lagi.

"Saya percaya awak," balas Hara.

Pemuda itu terus terdiam.  Hara memasukkan semula buku notanya ke dalam beg.

            “Sebenarnya aku tak ada pilihan, lah,” desis Hara dalam hati.

            "Ehem.. jom," ajak pemuda itu.

Seperti yang dijanjikan, pemuda itu menghantarnya semula ke kolej mereka.  Dalam perjalanan, masing-masing membisu dan melayan perasaan sendiri.  Apabila tiba di kolej, Hara segera mahu keluar dari kereta itu.

"Thanks," ucapnya sambil menutup pintu kereta.

Walaupun dia tahu yang bukan salah dia seratus peratus dalam hal ini.  Jika pemuda itu tidak memaksanya ikut sekali, maka tidak perlulah mereka berada di dalam keadaan sekarang.

            "Tak nak tahu nama saya ke?" soal pemuda itu tiba-tiba.

Hara yang sudah hendak melangkah, segera berpaling semula.

            "Pe.. perlu ke?" Dia serba salah.

Mendengarkan kata-kata yang tidak terduga daripada mulut Hara, wajah pemuda itu terus berubah.  Tanpa menunggu lebih lama, pemuda itu terus menutup pintu keretanya dan memecut pergi dari situ.

"Kurang ajar sangat ke aku tadi?"  Hara mula menyesal.

Dia sebenarnya tidak kisah untuk mengetahui nama pemuda itu.  Tetapi dia tidak selesa jika pemuda itu bertanyakan namanya pula.  Entah mengapa, dia kurang gemar memberitahu namanya kepada orang yang tidak berapa dikenali.

Malam itu Hara merayu agar majikan tempat dia bekerja membayar gajinya yang sudah lama terlewat dibayar. 

"Tolonglah, saya nak kena bayar sewa rumah," rayu Hara.

Selepas berfikir, majikannya itu telah memberikan duit sebanyak dua ratus ringgit.  Hara terkejut.  Jumlah gajinya sepatutnya adalah lebih daripada itu.

            "Baki, nanti.  Tapi kalau kau berhenti, memang kita orang tak akan bayar langsung," ugut majikannya itu.

Tidak ada pilihan, Hara mendiamkan diri.  Dia tahu ini adalah tidak adil untuknya.  Namun dia masih berharap agar majikannya menepati janji. 

Tugasnya adalah menaip dokumen. Maklumat di atas kertas akan dijadikan soft copy.  Kerja itu tidak berat tetapi memerlukan dia duduk mengadap komputer berjam-jam lamanya. Mengikut perjanjian mulut yang telah dibuat di antara dia dan majikannya dahulu, upah yang akan dia terima tidak akan tetap. 

“Lagi banyak kerja, lagi banyak dapat,” terang majikannya.

Bermakna upahnya bergantung dan mengikut berapa tebal dan berapa banyak tugasan yang dapat diselesaikan dengan sempurna.  Kadar upahnya juga lebih tinggi berbanding dengan bekerja di kedai-kedai biasa.

Beberapa bulan yang pertama, majikannya memang menepati janji. Bayaran yang diterima amat memuaskan. Membuat Hara tidak henti tersenyum riang. Dapatlah juga dia meringankan beban kewangannya. 

“Umi guna duit umi tu, tak payah bagi Hara.  Gaji Hara masih cukup,” ujarnya.

Dia tahu pendapatan ibunya itu tidak seberapa. Cukup-cukup saja. Duit itu jugalah digunakan bagi membayar sewa rumah dan ansuran kereta terpakai mereka. Mendengarkan kata-kata anak gadisnya ibu Hara merasa lega.

“Jimat, jangan boros, Hara,” pesan ibunya.

Namun semenjak dua menjak ini, keadaan sudah mulai berubah. Semakin kerap bayaran upahnya tertangguh dari tarikh yang sepatutnya. Adakala tarikh bayaran bertepatan tetapi dibayar dengan jumlah yang tidak mencukupi.

Semenjak peristiwa hitam melanda keluarganya, Hara kehilangan ramai kawan. Nurul dikenali selepas dia berpindah sekolah ketika zaman sekolah menengah mereka. Nurul tidak menyambung pelajarannya. 

“Aku tak pandai manapun.  Baik kerja,” ujar Nurul.

Gadis itu sekarang sudah bekerja di sebuah syarikat di pusat bandar.  Kerana keadaan dan waktu yang kurang mengizinkan, mereka jarang dapat berjumpa.  Tetapi masih sentiasa berhubung dan bertanya khabar. 

Hara mengayuh basikal miliknya dengan laju sekali.  Dia baru sahaja pulang dari menghantar tugasan yang telah siap kepada majikannya.  Di dalam bakul basikalnya kini ada tugasan baru yang agak tebal.

“Moga aku ada rezeki lebih.”  Dia gembira.

Pejabat majikannya memang dibuka sehingga pukul 9 malam. Ini kerana ramai pekerja sambilannya adalah pelajar seperti dirinya yang hanya lapang pada sebelah malam.

Angin semakin kuat bertiup, menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.

"Aku kena cepat, kalau hujan turun, naya," desisnya.                   

Kelajuan kayuhannya ditambah.  Kertas tugasan barunya itu tidak boleh terkena hujan.  Kalau basah, rosak, dia akan dimarahi dan upahnya akan ditolak.

“Tolonglah jangan hujan lagi, tolonglah,” doanya.

Kakinya sudah terasa sedikit lenguh tetapi dia tidak boleh perlahan.  Biarpun di hadapan itu terdapat selekoh yang agak tajam. 

“Sikit je lagi, Hara,” Dia memberi semangat kepada dirinya sendiri.

Hara memang sudah biasa dengan jalan ini.  Ini bukan jalan utama, maka tidak banyak kenderaan yang melalui jalan ini.  Terutama dalam cuaca begini.  Tetapi Hara tidak ada pilihan.  Ini adalah jalan pintas baginya. 

“Scree..tt!!  Tayar basikalnya bergesel dengan jalan. 

Hara sudah tidak ada pilihan lain.  Dengan segera dia melepaskan basikalnya itu.  Jika dia tidak bertindak begitu, mungkin akan lagi membahayakan dirinya.  Beg yang berisi tugasannya telah tercampak ke tepi.  Begitu juga dengan dirinya.

"Argh!  Aduh!" Dia mengaduh.

Tanpa disangka-sangka, pada masa itu tiba-tiba muncul sebuah kereta dari arah yang bertentangan.  Sekali lagi Hara panik.  Dia berusaha untuk bangun dari situ bagi menolak basikalnya yang berada di tengah jalan itu ke tepi.  Namun semuanya sudah terlambat.

“Scree..eeett!!”  Bunyi kereta itu membrek mengejut dengan kuatnya.

 “Ya Allah!” jerit Hara.

Kereta itu berjaya mengelak dari melanggarnya. 

            "Bang!"  Bunyi perlanggaran kedengaran.

Namun kereta itu  tidak berjaya mengelak dari terlanggar basikalnya sebelum melanggar pembahagi jalan.

            "Argh…"  Bersusah payah Hara cuba bangun berdiri. 

            Pemandu kereta datang menerkam ke arahnya.  Hara menjadi kecut.  Dia tahu pasti dia akan menerima maki hamun lelaki itu sebentar lagi.

            “Maaf, maaf, maaf...” Entah berapa kali perkataan itu keluar dari mulut Hara.

            "Awak okey?  Nak panggil ambulan?"  soal lelaki itu.

Hara terkejut dengan keprihatinan lelaki itu.

            "Tak.. takpe.  Sikit je.  Er.. saya.. mintak maaf, maaf sangat-sangat," Hara masih gementar.

Dia masih tidak berani untuk memandang wajah lelaki itu.  Namun perasaannya sedikit menjadi lega kerana lelaki ini nyata seorang yang bertimbang rasa.  Tidak marah-marah seperti kebanyakan pemandu lain yang terlibat dalam kemalangan.

            Dalam kegelapan malam itu, cahaya lampu jalan berdekatan samar-samar menyuluh ke  arah kereta lelaki itu.

            "Macam pernah tengok kereta tu." Hati Hara berbisik.

Namun dalam masa yang sama, suara lelaki itu kedengaran lagi.

            "Awak?!"

Kali ini Hara mendongak dan memandang ke arah wajah lelaki tersebut.  Sekali lagi cahaya lampu jalan yang samar-samar itu membantu penglihatannya.

            "Huh!  A.. Awak?!"  Dia pula yang terkejut.

Monday, 30 September 2013

AKU SUKA DIA - 1

           

“Hara, duit ada lagi, kan?  Umi tak dapat nak bagi Hara bulan ni.  Kereta rosak lagi,” keluh ibunya perlahan ketika mereka bercakap di telefon pagi tadi.


            Hara tidak mahu ibunya mengetahui keadaan masalah kewangannya di sini.  Duit yang dikatakan masih ada itu adalah duit pinjaman pelajarannya.  Tetapi duit itu masih belum diterimanya. Begitu juga dengan gaji dari pekerjaan sambilannya.

            Sebaik sahaja sesi kelasnya itu tamat, Hara segera keluar.  Dia berjalan dengan laju menuju ke tempat di mana terdapat mesin pengeluaran wang, ATM. 

Namun harapan hanya tinggal harapan.  Sistem komputer bank tidak dapat bertukar dengan sekadar harapannya yang kosong itu.  Kenyataannya, baki duit simpanannya memang menyedihkan bagi sesiapa yang melihatnya.  Malah boleh dikatakan amat memalukan sebagai seorang penuntut kolej ini.

            “Alamak! Dah lambat.” Dia melihat ke arah jam.

Kerana fikirannya melayang-layang, tanpa sengaja dia telah terlanggar satu pasangan.  Telefon bimbit si pemuda itu telah terjatuh.  

“Hurg!”  Berderau darah Hara melihat telefon mahal itu melantun ke lantai.
           
            “Buta ke?!” jerit si gadis kepadanya.

Hara tergamam seketika sebelum tersedar lalu menunduk untuk mengambil semula telefon bimbit tersebut.

            “Bang!”  Kepalanya dan kepala pemuda itu berlaga.
           
            “Argh!”  Mereka sama-sama mengaduh.

Rupa-rupanya mereka berdua berniat hendak mengambil telefon itu dalam masa yang sama.  Akibatnya kepala mereka bertembung.

            Ssorry.  Sorry,” ucap Hara.

Kepalanya yang sakit dipegang dengan sebelah tangan.  Pemuda itu tidak menjawab, sebaliknya hanya meneliti ke arah telefon bimbitnya itu.  Sambil sebelah tangannya sama seperti Hara.  Masih memegang bahagian kepala yang terantuk tadi.

“Kau tahu ni handphone latest model, kan?  Bayar!” sergah gadis itu lagi.

            “Gulp.”  Hara tertelan air liurnya sendiri.

            “Saya.. saya tak sengaja, saya…” Dia merayu.

Tidak mungkin dia mampu untuk membayar harga telefon bimbit itu.

            Thanks, sebab tolong saya," ucap pemuda itu.
 
           “Huh?” Hara dan gadis itu sama-sama terkejut.
 
           “Dia cakap thanks kat aku? Biar betul…” desis hatinya.

            “Sayang!”  Suara gadis itu mulai kuat.

            “Sebenarnya saya tak pernah sukapun phone ni.  So, kira awak dah tolong saya kali ni,” ujar pemuda itu lagi.

Sekali lagi dia tersenyum kepada Hara sambil dengan ringan, tangannya melemparkan telefon bimbit itu masuk dengan tepat ke dalam tong sampah berdekatan.


            “Hurg?” Hara tidak percaya akan telinga dan matanya.

“Sayang!” jerit gadis itu.
Pemuda itu langsung tidak mempedulikan jeritan teman wanitanya itu.  Sebelum berpaling pergi, dia masih sempat lagi mengenyitkan mata nakalnya ke arah Hara.
           Lara menghampiri tong sampah tadi.  Kepalanya dijengukkan ke dalam tong itu.  Terdapat banyak kertas slip daripada mesin ATM berdekatan di dalamnya.
“Sayangnya…” keluhnya sendiri.
            “Mesti boleh pakai lagi, ni.  Kalau rosakpun, mesti boleh baiki lagi.  Kenapalah diaorang mesti nak membazir?”
Teragak-agak, dia mengutip telefon itu lalu dibersihkan.  Dia berlari ke arah di mana pasangan tadi tuju. 
            “Betul ke dia buang phone ni sebab tak suka?” ragunya.
Sikap bongkak pemuda tadi kembali menjelma di mindanya.  Dia melihat ke arah telefon bimbit itu dengan sedih.  Lantas dia mencubanya dengan memasukkan kad sim miliknya ke dalam telefon itu.  Dia mahu pastikan ia benar-benar boleh digunakan.
            Yess!” Dia gembira.
Telefon bimbit itu nyata masih boleh berfungsi dengan baik. Biarpun ianya bukan miliknya, entah mengapa dia rasa bersyukur yang amat.
            “Alamak, kelas!”  Dia teringat tiba-tiba.
            “Mati aku, mati aku.” Perutnya terasa kecut.
Langkah Hara semakin melaju.  Ketika melintasi tepi kawasan meletak kereta pelajar, dia ternampak kelibat pemuda yang membuang telefon bimbit tadi. 
“Huh? Dia ke tu?” Dia menajamkan penglihatannya.
Pemuda itu kini sedang menuju ke arah keretanya.  Teman wanitanya tidak pula kelihatan ada bersama.
            Wait!  Awak!  Tunggu!” jeritnya sambil  berlari.
Itulah pilihannya.  Dia tidak mahu terus memegang telefon bimbit milik orang lain. Pemuda itu yang sudah sebelah kakinya berada di dalam kereta, segera berpaling ke arahnya.
 
            “Huh! Huh!” Nafas Hara termengah-mengah.
            “Awak cakap dengan saya ke?” Pemuda itu hairan.
           “Takdelah saya cakap ngan kereta awak.” Laju ayat itu dituturkan Hara.
Pemuda itu segera berwajah sinis. Seakan tidak berminat dengan lawak bodoh gadis yang tidak dikenalinya itu. Dia lantas berpaling untuk masuk ke keretanya.
           Thanks sebab tak salahkan saya tadi.  Tapi, nah, masih boleh pakai lagi.  Tak baik membazir.”
            “Kan saya dah kata…” Pemuda itu masih cuba beralasan.
            “Kalau awak tak nakpun, bagi pada orang,” potong Hara.
Melihat reaksi pemuda itu yang seperti tidak mahu menerimanya, Hara lantas meletakkan telefon itu ke dalam saku jaket pemuda itu.  Ternyata tindakan spontannya itu memeranjatkan pemuda tersebut.
           “Tanggungjawab saya dah selesai.   Sekarang terpulang pada  awak,” ujar Hara.
Lantas dia segera berpaling untuk pergi.  Setelah keluar dari kawasan letak kereta itu, tiba-tiba dia teringat akan sesuatu.
“Sim card aku!” Dia mula panik.
Serta merta langkahnya terhenti.  Apabila berpaling, kereta pemuda itu sudahpun mula berundur untuk keluar dari kawasan itu.
            “Aish!” Nyata dia kecewa dengan kecuaiannya sendiri.
Sekali lagi dia terpaksa berlari mengejar kereta itu.
            Stop!!” jeritnya.
Pemuda itu terpaksa memberhentikan keretanya dengan mengejut.  Hara berdiri betul-betul di tengah-tengah jalan sambil mendepakan kedua-dua tangannya. Ala-ala gaya Kate Winslet dalam filem Titanic. Bezanya, Kate membuat gaya itu di atas kapal mewah dengan cuaca dingin malam . Dia pula berada di tengah jalan, bawah cahaya matahari tengahari yang memancar terik.
            Yess!" Hara seronok kerana tektiknya berjaya.
            “Nak mati ke?!” jerit pemuda itu.
            “Siapa kata aku nak mati,” ngomel Hara sendiri.
Tanpa membuang masa, dia segera berlari menghampiri pemuda itu melalui tingkap kereta yang sudah diturunkan itu.
            Sorry, sorry.  Tadi saya test phone tu. Lupa nak keluarkan sim card saya balik,” terang Hara berpeluh-peluh.
            “Ambik sendiri,” ujarnya.
Hara terpinga-pinga tidak memahami.  Pemuda itu lantas menunjukkan ke arah tempat duduk penumpang di sebelah pemandu.  Tempat di mana telefon bimbit tadi di campakkan.
Hara berlari anak menuju ke arah pintu bahagian penumpang hadapan itu.  Apabila pintu kereta dibuka, dia terkejut kerana kedudukan telefon bimbit itu sudah berubah.  Kini ianya telah dialihkan ke atas dashboard berhampiran dengan pemandu.
            “Tadi bukan ke phone tu kat atas seat?” Dia merasa hairan.
            “Aku salah tengok kot.” Dia menyedapkan hatinya sendiri.
            “Cepatlah!” gesa pemuda itu.
Tidak ada pilihan, Hara terpaksa juga duduk di kerusi penumpang itu.  Tangannya cuba mencapai telefon bimbit terbabit.  Sebaik sahaja dia duduk, tiba-tiba pemuda itu telah menekan minyak keretanya.
           “Awak!” jerit Hara.