Sudah penat dia merayu minta diturunkan dari kereta
itu. Ternyata pemuda di sebelahnya itu
langsung tidak mengendahkan permintaanya. Kalau diikutkan hati, boleh saja dia
menarik brek tangan kereta ini. Tetapi dia masih waras. Kelajuan kereta ini
menghalangnya. Dia sedar dan tahu tindakan itu boleh menyebabkan mereka berdua
terlibat dengan kemalangan jalanraya yang serius.
"Saya nak cepat.
Don’t worry, awak boleh pergi
bila kita dah sampai nanti." Pemuda
itu berkata selamba.
Pelik bin ajaib, dia boleh percayakan cakap pemuda yang langsung
tidak dikenalinya ini. Pada hal dia tahu
dia tidak sepatutnya begitu. Malah sebelum ini dialah orangnya yang amat susah
hendak percayakan orang.
“Hospital?”
desisnya tiba-tiba.
Hara mula kehairanan apabila pemuda itu membelokkan
keretanya memasuki perkarangan salah sebuah pusat perubatan terkenal di ibu
kota ini. Hospital swasta yang
berprestij.
"Jom," ujar pemuda itu.
Kereta diletakkan di tempat letak kereta bawah tanah. Terkedu
dan kehairanan, Hara mengikutnya keluar daripada kereta. Mereka memasuki ruang lobi hospital terbabit.
"Kalau
awak nak balik dulu, silakan. Kalau
tunggu kat sini, saya antar awak balik," ujar pemuda itu lagi.
Belum sempat Hara menjawab, pemuda itu sudah melangkah
pergi dengan tergesa-gesa. Hara melihat
pemuda itu melangkah ke arah lif yang menuju ke bahagian wad-wad pesakit.
"Siapa
yang sakit?" Hatinya tertanya sendiri.
Selepas
bayangan pemuda itu lesap, perlahan-lahan Hara melangkah keluar dari lobi dan
menjenguk ke arah jalan besar. Wajahnya seperti orang yang tidak bersemangat.
"Boleh tahan jugak jam," keluhnya.
Fikirannya sibuk membuat pengiraan. Dia mengira berapakah tambang akan dikenakan
ke atasnya jika dia mengambil teksi untuk pulang ke kolej.
"No, no.
Tak mampu aku."
Kemudian dia melihat jika terdapat bas yang melalui
kawasan itu. Setakat ini, masih belum
kelihatan lagi. Lantas dia mengambil
keputusan untuk bertanya kepada kekitangan hospital itu.
"Terima kasih," ucapnya.
"Sama-sama," balas jururawat itu.
Memang ada bas tetapi bukan di sini. Dia harus berjalan agak jauh untuk ke tempat
menunggu bas. Tetapi bas itu hanya
menuju ke arah pusat bandar sahaja. Bermakna
apabila tiba ke pusat bandar, dia harus mengambil bas lain pula kerana kolejnya
terletak di laluan berlainan.
"Fuhh…"
Dia melepaskan nafas yang berat.
Hara
berpaling dan memandang semula ke arah bahagian dalam lobi hospital. Itu adalah pilihan ketiga baginya. Untuk
pilihan ini, perasaan ego dan marahnya harus dibelakangkan.
"Kalau tunggu kat sini, saya antar awak
balik." Kata-kata pemuda itu tadi
kembali terngiang-ngiang di telinganya.
Buat seketika dia mundar-mandir di luar lobi itu sambil
berfikir. Membelakangkan rasa ego dan marah memang senang diucap. Tetapi agak
berat untuk dibuat.
“Nasib aku kena jimat duit. Kalau tak, tak ingin aku
tengok muka dia lagi,” gumamnya sendirian.
Sekali lagi dia membuat tindakan yang tidak pernah dibuat
sebelum ini. Mempercayai kata-kata
pemuda itu.
“Aku
gila...” ngomelnya sendirian.
Satu jam telah berlalu.
Hara masih duduk di sofa empuk yang sama di lobi itu. Dia menyibukkan diri dengan buku nota yang
berada di dalam begnya. Sekali-sekala dia memerhati jika kelibat pemuda tadi
muncul. Hampa. Dia kembali kepada buku notanya.
"Awak percaya saya?" Tiba-tiba ada satu suara menegurnya.
Hara mengangkat muka.
Rupa-rupanya pemuda itu sedang berdiri memandangnya. Kemudian turut mengambil tempat di sofa
sebelah Hara.
“Dia ni
jin ke apa? Tadi aku tengok, tak ada. Tiba-tiba je muncul,” desis hati Hara.
"Tak
terfikir ke kalau saya tipu? Saya keluar
sembunyi-sembunyi ke?" soal pemuda
itu.
Hara tidak tahu apa harus dikatakan.
"Atau
kalau lepas ni saya bawak awak lari entah mana-mana ke? Berani awak ikut saya semula?" Pemuda
itu terus menakutkan Hara.
Gadis itu masih mendiamkan diri.
"Saya ni bukan baik sangat…" tambah jejaka itu
lagi.
"Saya percaya awak," balas Hara.
Pemuda itu terus terdiam.
Hara memasukkan semula buku notanya ke dalam beg.
“Sebenarnya
aku tak ada pilihan, lah,” desis Hara dalam hati.
"Ehem..
jom," ajak pemuda itu.
Seperti yang dijanjikan, pemuda itu menghantarnya semula
ke kolej mereka. Dalam perjalanan,
masing-masing membisu dan melayan perasaan sendiri. Apabila tiba di kolej, Hara segera mahu
keluar dari kereta itu.
"Thanks,"
ucapnya sambil menutup pintu kereta.
Walaupun dia tahu yang bukan salah dia seratus peratus
dalam hal ini. Jika pemuda itu tidak
memaksanya ikut sekali, maka tidak perlulah mereka berada di dalam keadaan
sekarang.
"Tak
nak tahu nama saya ke?" soal pemuda itu tiba-tiba.
Hara yang sudah hendak melangkah, segera berpaling
semula.
"Pe..
perlu ke?" Dia serba salah.
Mendengarkan kata-kata yang tidak terduga daripada mulut
Hara, wajah pemuda itu terus berubah.
Tanpa menunggu lebih lama, pemuda itu terus menutup pintu keretanya dan
memecut pergi dari situ.
"Kurang ajar sangat ke aku tadi?" Hara mula menyesal.
Dia sebenarnya tidak kisah untuk mengetahui nama pemuda
itu. Tetapi dia tidak selesa jika pemuda
itu bertanyakan namanya pula. Entah
mengapa, dia kurang gemar memberitahu namanya kepada orang yang tidak berapa
dikenali.
Malam itu Hara merayu agar majikan tempat dia bekerja
membayar gajinya yang sudah lama terlewat dibayar.
"Tolonglah, saya nak kena bayar sewa rumah,"
rayu Hara.
Selepas berfikir, majikannya itu telah memberikan duit sebanyak
dua ratus ringgit. Hara terkejut. Jumlah gajinya sepatutnya adalah lebih
daripada itu.
"Baki,
nanti. Tapi kalau kau berhenti, memang
kita orang tak akan bayar langsung," ugut majikannya itu.
Tidak ada pilihan, Hara mendiamkan diri. Dia tahu ini adalah tidak adil untuknya. Namun dia masih berharap agar majikannya
menepati janji.
Tugasnya adalah menaip dokumen. Maklumat di atas kertas
akan dijadikan soft copy. Kerja itu tidak berat tetapi memerlukan dia
duduk mengadap komputer berjam-jam lamanya. Mengikut perjanjian mulut yang
telah dibuat di antara dia dan majikannya dahulu, upah yang akan dia terima tidak
akan tetap.
“Lagi banyak kerja, lagi banyak dapat,” terang
majikannya.
Bermakna upahnya bergantung dan mengikut berapa tebal dan
berapa banyak tugasan yang dapat diselesaikan dengan sempurna. Kadar upahnya juga lebih tinggi berbanding
dengan bekerja di kedai-kedai biasa.
Beberapa bulan yang pertama, majikannya memang menepati
janji. Bayaran yang diterima amat memuaskan. Membuat Hara tidak henti tersenyum
riang. Dapatlah juga dia meringankan beban kewangannya.
“Umi guna duit umi tu, tak payah bagi Hara. Gaji Hara masih cukup,” ujarnya.
Dia tahu pendapatan ibunya itu tidak seberapa.
Cukup-cukup saja. Duit itu jugalah digunakan bagi membayar sewa rumah dan
ansuran kereta terpakai mereka. Mendengarkan kata-kata anak gadisnya ibu Hara
merasa lega.
“Jimat, jangan boros, Hara,” pesan ibunya.
Namun semenjak dua menjak ini, keadaan sudah mulai
berubah. Semakin kerap bayaran upahnya tertangguh dari tarikh yang sepatutnya.
Adakala tarikh bayaran bertepatan tetapi dibayar dengan jumlah yang tidak mencukupi.
Semenjak peristiwa hitam melanda keluarganya, Hara
kehilangan ramai kawan. Nurul dikenali selepas dia berpindah sekolah ketika
zaman sekolah menengah mereka. Nurul tidak menyambung pelajarannya.
“Aku tak pandai manapun.
Baik kerja,” ujar Nurul.
Gadis itu sekarang sudah bekerja di sebuah syarikat di
pusat bandar. Kerana keadaan dan waktu
yang kurang mengizinkan, mereka jarang dapat berjumpa. Tetapi masih sentiasa berhubung dan bertanya
khabar.
Hara mengayuh basikal miliknya dengan laju sekali. Dia baru sahaja pulang dari menghantar
tugasan yang telah siap kepada majikannya.
Di dalam bakul basikalnya kini ada tugasan baru yang agak tebal.
“Moga aku ada rezeki lebih.” Dia gembira.
Pejabat majikannya memang dibuka sehingga pukul 9 malam.
Ini kerana ramai pekerja sambilannya adalah pelajar seperti dirinya yang hanya
lapang pada sebelah malam.
Angin semakin kuat bertiup, menandakan hujan akan turun
tidak lama lagi.
"Aku kena
cepat, kalau hujan turun, naya," desisnya.
Kelajuan kayuhannya
ditambah. Kertas tugasan barunya itu
tidak boleh terkena hujan. Kalau basah,
rosak, dia akan dimarahi dan upahnya akan ditolak.
“Tolonglah jangan
hujan lagi, tolonglah,” doanya.
Kakinya sudah terasa sedikit lenguh tetapi dia tidak
boleh perlahan. Biarpun di hadapan itu
terdapat selekoh yang agak tajam.
“Sikit je lagi,
Hara,” Dia memberi semangat kepada dirinya sendiri.
Hara memang sudah
biasa dengan jalan ini. Ini bukan jalan
utama, maka tidak banyak kenderaan yang melalui jalan ini. Terutama dalam cuaca begini. Tetapi Hara tidak ada pilihan. Ini adalah jalan pintas baginya.
“Scree..tt!! Tayar basikalnya bergesel dengan jalan.
Hara sudah tidak ada pilihan lain. Dengan segera dia melepaskan basikalnya itu. Jika dia tidak bertindak begitu, mungkin akan
lagi membahayakan dirinya. Beg yang berisi
tugasannya telah tercampak ke tepi.
Begitu juga dengan dirinya.
"Argh! Aduh!"
Dia mengaduh.
Tanpa disangka-sangka, pada masa itu tiba-tiba muncul
sebuah kereta dari arah yang bertentangan.
Sekali lagi Hara panik. Dia
berusaha untuk bangun dari situ bagi menolak basikalnya yang berada di tengah
jalan itu ke tepi. Namun semuanya sudah
terlambat.
“Scree..eeett!!” Bunyi kereta itu membrek mengejut dengan
kuatnya.
“Ya Allah!” jerit Hara.
Kereta itu berjaya mengelak dari melanggarnya.
"Bang!" Bunyi perlanggaran kedengaran.
Namun kereta itu
tidak berjaya mengelak dari terlanggar basikalnya sebelum melanggar pembahagi
jalan.
"Argh…" Bersusah payah Hara cuba bangun berdiri.
Pemandu
kereta datang menerkam ke arahnya. Hara
menjadi kecut. Dia tahu pasti dia akan
menerima maki hamun lelaki itu sebentar lagi.
“Maaf,
maaf, maaf...” Entah berapa kali perkataan itu keluar dari mulut Hara.
"Awak
okey?
Nak panggil ambulan?" soal
lelaki itu.
Hara terkejut dengan keprihatinan lelaki itu.
"Tak..
takpe. Sikit je. Er.. saya.. mintak maaf, maaf
sangat-sangat," Hara masih gementar.
Dia masih tidak berani untuk memandang wajah lelaki
itu. Namun perasaannya sedikit menjadi
lega kerana lelaki ini nyata seorang yang bertimbang rasa. Tidak marah-marah seperti kebanyakan pemandu
lain yang terlibat dalam kemalangan.
Dalam
kegelapan malam itu, cahaya lampu jalan berdekatan samar-samar menyuluh ke arah kereta lelaki itu.
"Macam
pernah tengok kereta tu." Hati Hara berbisik.
Namun dalam masa yang sama, suara lelaki itu kedengaran
lagi.
"Awak?!"
Kali ini Hara mendongak dan memandang ke arah wajah
lelaki tersebut. Sekali lagi cahaya
lampu jalan yang samar-samar itu membantu penglihatannya.
"Huh! A.. Awak?!" Dia pula yang terkejut.
No comments:
Post a Comment