Saturday, 12 October 2013

AKU SUKA DIA - 2



 



Sudah penat dia merayu minta diturunkan dari kereta itu.  Ternyata pemuda di sebelahnya itu langsung tidak mengendahkan permintaanya. Kalau diikutkan hati, boleh saja dia menarik brek tangan kereta ini. Tetapi dia masih waras. Kelajuan kereta ini menghalangnya. Dia sedar dan tahu tindakan itu boleh menyebabkan mereka berdua terlibat dengan kemalangan jalanraya yang serius.

"Saya nak cepat.  Don’t worry, awak boleh pergi bila kita dah sampai nanti." Pemuda  itu berkata selamba.

Pelik bin ajaib, dia boleh percayakan cakap pemuda yang langsung tidak dikenalinya ini.  Pada hal dia tahu dia tidak sepatutnya begitu. Malah sebelum ini dialah orangnya yang amat susah hendak percayakan orang.

            “Hospital?” desisnya tiba-tiba.

Hara mula kehairanan apabila pemuda itu membelokkan keretanya memasuki perkarangan salah sebuah pusat perubatan terkenal di ibu kota ini.  Hospital swasta yang berprestij.

"Jom," ujar pemuda  itu.

Kereta diletakkan di tempat letak kereta bawah tanah. Terkedu dan kehairanan, Hara mengikutnya keluar daripada kereta.  Mereka memasuki ruang lobi hospital terbabit.

            "Kalau awak nak balik dulu, silakan.  Kalau tunggu kat sini, saya antar awak balik," ujar pemuda itu lagi.

Belum sempat Hara menjawab, pemuda itu sudah melangkah pergi dengan tergesa-gesa.  Hara melihat pemuda itu melangkah ke arah lif yang menuju ke bahagian wad-wad pesakit.

            "Siapa yang sakit?" Hatinya tertanya sendiri.

            Selepas bayangan pemuda itu lesap, perlahan-lahan Hara melangkah keluar dari lobi dan menjenguk ke arah jalan besar. Wajahnya seperti orang yang tidak bersemangat.

"Boleh tahan jugak jam," keluhnya.

Fikirannya sibuk membuat pengiraan.  Dia mengira berapakah tambang akan dikenakan ke atasnya jika dia mengambil teksi untuk pulang ke kolej. 

"No, no. Tak mampu aku."

Kemudian dia melihat jika terdapat bas yang melalui kawasan itu.  Setakat ini, masih belum kelihatan lagi.  Lantas dia mengambil keputusan untuk bertanya kepada kekitangan hospital itu.

"Terima kasih," ucapnya.

"Sama-sama," balas jururawat itu.

Memang ada bas tetapi bukan di sini.  Dia harus berjalan agak jauh untuk ke tempat menunggu bas.  Tetapi bas itu hanya menuju ke arah pusat bandar sahaja.  Bermakna apabila tiba ke pusat bandar, dia harus mengambil bas lain pula kerana kolejnya terletak di laluan berlainan.

            "Fuhh…" Dia melepaskan nafas yang berat.

            Hara berpaling dan memandang semula ke arah bahagian dalam lobi hospital.  Itu adalah pilihan ketiga baginya. Untuk pilihan ini, perasaan ego dan marahnya harus dibelakangkan.

"Kalau tunggu kat sini, saya antar awak balik."  Kata-kata pemuda itu tadi kembali terngiang-ngiang di telinganya.

Buat seketika dia mundar-mandir di luar lobi itu sambil berfikir. Membelakangkan rasa ego dan marah memang senang diucap. Tetapi agak berat untuk dibuat.

“Nasib aku kena jimat duit. Kalau tak, tak ingin aku tengok muka dia lagi,” gumamnya sendirian.

Sekali lagi dia membuat tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini.  Mempercayai kata-kata pemuda itu.

            “Aku gila...” ngomelnya sendirian.

Satu jam telah berlalu.  Hara masih duduk di sofa empuk yang sama di lobi itu.  Dia menyibukkan diri dengan buku nota yang berada di dalam begnya. Sekali-sekala dia memerhati jika kelibat pemuda tadi muncul. Hampa. Dia kembali kepada buku notanya.

"Awak percaya saya?"  Tiba-tiba ada satu suara menegurnya.

Hara mengangkat muka.  Rupa-rupanya pemuda itu sedang berdiri memandangnya.  Kemudian turut mengambil tempat di sofa sebelah Hara.

            “Dia ni jin ke apa? Tadi aku tengok, tak ada. Tiba-tiba je muncul,” desis hati Hara.

            "Tak terfikir ke kalau saya tipu?  Saya keluar sembunyi-sembunyi ke?"  soal pemuda itu.

Hara tidak tahu apa harus dikatakan.

            "Atau kalau lepas ni saya bawak awak lari entah mana-mana ke?  Berani awak ikut saya semula?" Pemuda itu terus menakutkan Hara.

Gadis itu masih mendiamkan diri.

"Saya ni bukan baik sangat…" tambah jejaka itu lagi.

"Saya percaya awak," balas Hara.

Pemuda itu terus terdiam.  Hara memasukkan semula buku notanya ke dalam beg.

            “Sebenarnya aku tak ada pilihan, lah,” desis Hara dalam hati.

            "Ehem.. jom," ajak pemuda itu.

Seperti yang dijanjikan, pemuda itu menghantarnya semula ke kolej mereka.  Dalam perjalanan, masing-masing membisu dan melayan perasaan sendiri.  Apabila tiba di kolej, Hara segera mahu keluar dari kereta itu.

"Thanks," ucapnya sambil menutup pintu kereta.

Walaupun dia tahu yang bukan salah dia seratus peratus dalam hal ini.  Jika pemuda itu tidak memaksanya ikut sekali, maka tidak perlulah mereka berada di dalam keadaan sekarang.

            "Tak nak tahu nama saya ke?" soal pemuda itu tiba-tiba.

Hara yang sudah hendak melangkah, segera berpaling semula.

            "Pe.. perlu ke?" Dia serba salah.

Mendengarkan kata-kata yang tidak terduga daripada mulut Hara, wajah pemuda itu terus berubah.  Tanpa menunggu lebih lama, pemuda itu terus menutup pintu keretanya dan memecut pergi dari situ.

"Kurang ajar sangat ke aku tadi?"  Hara mula menyesal.

Dia sebenarnya tidak kisah untuk mengetahui nama pemuda itu.  Tetapi dia tidak selesa jika pemuda itu bertanyakan namanya pula.  Entah mengapa, dia kurang gemar memberitahu namanya kepada orang yang tidak berapa dikenali.

Malam itu Hara merayu agar majikan tempat dia bekerja membayar gajinya yang sudah lama terlewat dibayar. 

"Tolonglah, saya nak kena bayar sewa rumah," rayu Hara.

Selepas berfikir, majikannya itu telah memberikan duit sebanyak dua ratus ringgit.  Hara terkejut.  Jumlah gajinya sepatutnya adalah lebih daripada itu.

            "Baki, nanti.  Tapi kalau kau berhenti, memang kita orang tak akan bayar langsung," ugut majikannya itu.

Tidak ada pilihan, Hara mendiamkan diri.  Dia tahu ini adalah tidak adil untuknya.  Namun dia masih berharap agar majikannya menepati janji. 

Tugasnya adalah menaip dokumen. Maklumat di atas kertas akan dijadikan soft copy.  Kerja itu tidak berat tetapi memerlukan dia duduk mengadap komputer berjam-jam lamanya. Mengikut perjanjian mulut yang telah dibuat di antara dia dan majikannya dahulu, upah yang akan dia terima tidak akan tetap. 

“Lagi banyak kerja, lagi banyak dapat,” terang majikannya.

Bermakna upahnya bergantung dan mengikut berapa tebal dan berapa banyak tugasan yang dapat diselesaikan dengan sempurna.  Kadar upahnya juga lebih tinggi berbanding dengan bekerja di kedai-kedai biasa.

Beberapa bulan yang pertama, majikannya memang menepati janji. Bayaran yang diterima amat memuaskan. Membuat Hara tidak henti tersenyum riang. Dapatlah juga dia meringankan beban kewangannya. 

“Umi guna duit umi tu, tak payah bagi Hara.  Gaji Hara masih cukup,” ujarnya.

Dia tahu pendapatan ibunya itu tidak seberapa. Cukup-cukup saja. Duit itu jugalah digunakan bagi membayar sewa rumah dan ansuran kereta terpakai mereka. Mendengarkan kata-kata anak gadisnya ibu Hara merasa lega.

“Jimat, jangan boros, Hara,” pesan ibunya.

Namun semenjak dua menjak ini, keadaan sudah mulai berubah. Semakin kerap bayaran upahnya tertangguh dari tarikh yang sepatutnya. Adakala tarikh bayaran bertepatan tetapi dibayar dengan jumlah yang tidak mencukupi.

Semenjak peristiwa hitam melanda keluarganya, Hara kehilangan ramai kawan. Nurul dikenali selepas dia berpindah sekolah ketika zaman sekolah menengah mereka. Nurul tidak menyambung pelajarannya. 

“Aku tak pandai manapun.  Baik kerja,” ujar Nurul.

Gadis itu sekarang sudah bekerja di sebuah syarikat di pusat bandar.  Kerana keadaan dan waktu yang kurang mengizinkan, mereka jarang dapat berjumpa.  Tetapi masih sentiasa berhubung dan bertanya khabar. 

Hara mengayuh basikal miliknya dengan laju sekali.  Dia baru sahaja pulang dari menghantar tugasan yang telah siap kepada majikannya.  Di dalam bakul basikalnya kini ada tugasan baru yang agak tebal.

“Moga aku ada rezeki lebih.”  Dia gembira.

Pejabat majikannya memang dibuka sehingga pukul 9 malam. Ini kerana ramai pekerja sambilannya adalah pelajar seperti dirinya yang hanya lapang pada sebelah malam.

Angin semakin kuat bertiup, menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.

"Aku kena cepat, kalau hujan turun, naya," desisnya.                   

Kelajuan kayuhannya ditambah.  Kertas tugasan barunya itu tidak boleh terkena hujan.  Kalau basah, rosak, dia akan dimarahi dan upahnya akan ditolak.

“Tolonglah jangan hujan lagi, tolonglah,” doanya.

Kakinya sudah terasa sedikit lenguh tetapi dia tidak boleh perlahan.  Biarpun di hadapan itu terdapat selekoh yang agak tajam. 

“Sikit je lagi, Hara,” Dia memberi semangat kepada dirinya sendiri.

Hara memang sudah biasa dengan jalan ini.  Ini bukan jalan utama, maka tidak banyak kenderaan yang melalui jalan ini.  Terutama dalam cuaca begini.  Tetapi Hara tidak ada pilihan.  Ini adalah jalan pintas baginya. 

“Scree..tt!!  Tayar basikalnya bergesel dengan jalan. 

Hara sudah tidak ada pilihan lain.  Dengan segera dia melepaskan basikalnya itu.  Jika dia tidak bertindak begitu, mungkin akan lagi membahayakan dirinya.  Beg yang berisi tugasannya telah tercampak ke tepi.  Begitu juga dengan dirinya.

"Argh!  Aduh!" Dia mengaduh.

Tanpa disangka-sangka, pada masa itu tiba-tiba muncul sebuah kereta dari arah yang bertentangan.  Sekali lagi Hara panik.  Dia berusaha untuk bangun dari situ bagi menolak basikalnya yang berada di tengah jalan itu ke tepi.  Namun semuanya sudah terlambat.

“Scree..eeett!!”  Bunyi kereta itu membrek mengejut dengan kuatnya.

 “Ya Allah!” jerit Hara.

Kereta itu berjaya mengelak dari melanggarnya. 

            "Bang!"  Bunyi perlanggaran kedengaran.

Namun kereta itu  tidak berjaya mengelak dari terlanggar basikalnya sebelum melanggar pembahagi jalan.

            "Argh…"  Bersusah payah Hara cuba bangun berdiri. 

            Pemandu kereta datang menerkam ke arahnya.  Hara menjadi kecut.  Dia tahu pasti dia akan menerima maki hamun lelaki itu sebentar lagi.

            “Maaf, maaf, maaf...” Entah berapa kali perkataan itu keluar dari mulut Hara.

            "Awak okey?  Nak panggil ambulan?"  soal lelaki itu.

Hara terkejut dengan keprihatinan lelaki itu.

            "Tak.. takpe.  Sikit je.  Er.. saya.. mintak maaf, maaf sangat-sangat," Hara masih gementar.

Dia masih tidak berani untuk memandang wajah lelaki itu.  Namun perasaannya sedikit menjadi lega kerana lelaki ini nyata seorang yang bertimbang rasa.  Tidak marah-marah seperti kebanyakan pemandu lain yang terlibat dalam kemalangan.

            Dalam kegelapan malam itu, cahaya lampu jalan berdekatan samar-samar menyuluh ke  arah kereta lelaki itu.

            "Macam pernah tengok kereta tu." Hati Hara berbisik.

Namun dalam masa yang sama, suara lelaki itu kedengaran lagi.

            "Awak?!"

Kali ini Hara mendongak dan memandang ke arah wajah lelaki tersebut.  Sekali lagi cahaya lampu jalan yang samar-samar itu membantu penglihatannya.

            "Huh!  A.. Awak?!"  Dia pula yang terkejut.