Wednesday, 3 December 2014

AKU SUKA DIA - 5

 
 
Perselisihan faham yang telah berlaku di antara dirinya dan juga keluarga pada malam itu, telah membawa kepada pertengkaran.  Bagaimanapun itu bukanlah perkara baru bagi keluarga mereka. Kerana tidak mahu terus berada di situ, dia lantas meluru keluar dari rumah besar keluarganya itu. 
“Ian!!” Namanya dipanggil.
Namun dia sudah tidak peduli lagi.  Enjin keretanya terus dihidupkan lalu pedal minyak terus ditekan.  Keretanya memecut laju keluar dari kawasan kediaman mewah itu.
“Aaahhh!!”  jeritnya.
Cuba untuk melepaskan perasaan kecewanya.
Bunyi muzik yang berdetum dentam dari stereonya jelas kedengaran hingga ke luar kereta.  Perasaan kecewa dan marahnya belum reda.  Wajahnya yang serius itu menggambarkan gelora di dalam dadanya. 
“Aaahhh!!”  jeritnya lagi.
Jika ada orang ajak bertumbuk ketika ini, dia pasti tidak akan menolak.  Malah mungkin dia akan merasa gembira.  Dia memerlukan seseorang atau sesuatu untuk dijadikan korban sebagai punching bag untuknya.  Setakat ini hanya keretanya yang menjadi mangsa.
Kereta jenis BMW itu terus dipandu dengan laju, tanpa sebarang arah tujuan.  Malah dia kurang pasti di manakah dia sedang berada.  Atau bagaimana dia boleh sampai ke situ.  Yang pasti dia tidak mempunyai sebarang kawan yang tinggal di kawasan ini.  Kawasan yang berhampiran dengan kolejnya.
            Akhirnya di hujung perjalanan itu, dia telah hampir-hampir membahayakan nyawa dirinya sendiri dan juga seseorang.  Kerana tidak fokus semasa memandu telah membuatkan dia lambat sedar akan kewujudan bahaya di hadapan.
            “Huh?!” Dia terkejut.
            “Scree..eett!!” Brek kereta ditekan mengejut.
            Seakan dikejutkan dari mimpi, dia telah mencuba sedaya upaya untuk mengelak sesuatu atau seseorang yang berada di atas jalan raya itu.  Kecekapannya mengawal kereta berjaya dari mengelakkan keretanya berpusing-pusing atau terbalik.
            “Bang!!”
Keretanya berhenti selepas memberi ciuman ringan kepada pembahagi jalan.  Rasa bersyukur kerana terselamat membuatkan dia terlupa akan api kemarahannya tadi.  Setelah menjenguk sebentar ke bahagian hadapan keretanya, dia segera pergi mendapatkan gadis itu.
            Tanpa di duga, itu rupanya adalah gadis yang sama yang telah menyinggung dan menggores egonya sebagai seorang kasanova tempohari. Pertemuan yang berlaku dalam keadaan yang agak pelik, tetapi telah terjadi dan kini menjadi sejarah. Hujung pertemuan mereka yang lepas itu terbayang di ingatannya.
"Tak nak tahu nama saya ke?" soalnya.
Dia merasa hairan kerana gadis itu langsung tidak bertanya tentang namanya. Berbeza dengan gadis-gadis lain. Gadis yang sudah hendak melangkah, segera berpaling semula.
            "Pe.. perlu ke?" soal gadis itu kembali.
Soalan gadis itu ternyata menghangatkan hatinya secara tiba-tiba.
            Titisan hujan yang mula mengenai lengannya membawa dia kembali semula kepada kenyataan. Kenyataan yang dia hampir melanggar gadis itu.
“Dia ni lagi,” desis hatinya.
Gadis itu  kelihatan gementar sekali.  Biarpun sedar yang dirinya turut bersalah kerana memandu laju di kawasan sebegitu.  Namun apabila melihat gadis yang tidak berdaya melawan itu, dia telah mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya.
“Ian, teruk betul kau ni,” kutuknya sendiri.
            Seperti orang yang sakit dihulurkan ubat, dia mendapat idea nakalnya.  Gadis itu akan dijadikan mangsa keadaan.
            Too bad, kau muncul depan aku salah masa.  Dah sekarang kau bakal jadi punching bag aku,” bisik hatinya.
Secara paksa, dia menahan gadis itu bersamanya.  Biarpun pada awalnya, dia sendiri terkejut dengan apa yang sedang dia lakukan. 
“Kau gila, Ian.  Habis tu sekarang apa?” soal dirinya sendiri.
Just wait and see,” balas satu lagi suara dalam dirinya.
Sedangkan, kalau nak ambil kesempatan melepaskan marah, boleh saja dia menjerit dan menengking gadis itu di situ juga.  Tidak perlulah dia bersusah payah.  Malah terpaksa pula mengangkat dan mengangkut basikal milik gadis itu bersama.
            Mahu kata dia perlukan teman bercakap buat sementara, boleh saja sebenarnya dia mencari kawan-kawannya itu.  Lebih-lebih lagi sekarang mereka mungkin sedang berada di kelab bersama gadis-gadis jelita.
            “Kenapa aku mesti buang masa dengan perempuan ni?”
            “Perempuan yang hmm.. not my taste.”
Namun anehnya, fikiran dan kelakuannya tidak sehaluan.  Biar tidak logik sekalipun, dia merasa gembira dan puas melakukannya.  Bagaimanapun, selepas beberapa lama mendera mental gadis itu, perasaannya tidak seseronok seperti yang dibayangkan sebelum ini.  Malah dia mula merasa bersalah pula. 
Agak lama juga masa dia terpaksa ambil untuk menjernihkan fikirannya.  Bagi memikikan apa yang patut dilakukan selepas  ini.
“Apa kau buat ni, Ian?”
“Itulah, kalau kau blah awal-awal tadi, tak delah perkara ni melarat sampai sekarang.”
Now what?”
Dia terus berdailog bersendirian.  Ketika  itu dia meninggalkan gadis itu tersebut berseorangan di dalam keretanya.  Manakala dirinya pula, asyik berdiri duduk di bahagian belakang bangunan kedai serbaneka stesyen minyak itu. 
“Alang-alang dah berlakon suruh dia bayar, tak kan tiba-tiba nak kata tak payah bayar pulak.  Macam senang benar, aku ni.”
“Tapi…”
“Betul ke airmata  dia  tadi?  Ke berlakon macam aku jugak?”
“Tapi suara ngan tangan dia real punya menggeletar tadi.”
“Tangan dia.. luka-luka.”
Sesi berbahas bersendiriannya masih berjalan di tepi dinding yang agak malap cahayanya itu.  Nasib baik orang tidak ada ramai orang yang lalu lalang di situ.  Maklumlah cuaca sejuk macam sekarang ini.  Kalau tidak pasti orang akan memandangnya dengan pelik. 
“Kalau orang tengok, mestikata aku gila dok kat sini hujan-hujan ni.”
“Nak kata merokok, aku tak hisap rokok.”
Dia sememangnya sedang duduk bangun dalam gelap itu seorang-seorang.  Tanpa berbuat apa-apa.  Hanya berfikir, duduk bangun dan mengeluh.  Seolah-olah masalahnya itu masalah besar sangat-sangat.
“Tink!!”
Ideanya sudah datang.  Kini dia melangkah ke kereta dengan senyuman.  Sebelum itu dia masuk ke dalam kedai itu untuk membeli beberapa barang.
Sebaik sahaja menghantar gadis itu pulang dengan selamat, dia terus memandu untuk pulang ke rumahnya pula.  Tetapi keadaan dan cara pemanduannya kini berlainan sekali dengan cara pemanduannya sebelum bertemu dengan gadis itu tadi.  Pendek kata, sebelum kemalangan tadi.
Tadi dia asyik memecut dengan lajunya.  Kini pula adalah sebaliknya.  Fikirannya melayang mengingati gadis bernama Hara itu.  Tanpa sedar dia membawa kereta ala-ala orang yang sedang  berdating.
Sebaik memasuki rumah, semua penghuninya sudahpun masuk tidur.  Secara otomatik, dia kembali teringat akan kejadian pada petang tadi.  Pertengkaran yang kini membuatkan hatinya kembali panas.
“Tink!!” 
Ideanya datang lagi.
            “Hara.. Hara…”
Kemudian satu senyuman nakal terukir pada bibirnya.
            “Hara.. kau terpaksa aku jadikan mangsa sekali lagi.  Sorry.”


Shh... Dia IDOL - 2

 
      Perkahwinan campur antarabangsa dan budaya ibu Lara iaitu Tina dan bapa tirinya, Sang Woo sekaligus telah menemukan Lara dan Minho. Minho adalah anak tunggal kepada abang Sang Woo iaitu Min Woo dan isterinya Yushin. Ketika itu Lara berusia tujuh tahun dan Minho enam tahun. Setelah Lara diletakkan di bawah jagaan Puan Mijin sekeluarga, hubungan dua orang kanak-kanak itu serta merta menjadi akrab.
   
    “Kembar.”
    Itu adalah panggilan jiran tetangga kepada mereka berdua. Masakan tidak, mereka hanya berpisah ketika waktu persekolahan sahaja. Selebihnya, Minho umpama bayang-bayang kepada Lara dan begitu juga sebaliknya. Yushin yang sememangnya menginginkan seorang anak perempuan, membahasakan diri dan suaminya sebagai omma dan appa kepada Lara. Jarak umur setahun di antara mereka telah membuatkan Lara seronok menggunakan kuasa sebagai ‘kakak’ pada ketika itu. Perasaan mendapat adik sepupu segera, seumpama mendapat mainan idaman baginya. Patung Barbie yang ada dalam koleksi, langsung tidak dihiraukan lagi.
   “Panggil saya noona,” arah Lara.
Noona adalah panggilan hormat lelaki kepada wanita yang bermaksud kakak.
   “Tak nak.” Minho nyata berdegil.
Namun begitu selain ingkar arahan Lara dan keluarga agar memanggil Lara sebagai ‘noona’, Minho menurut apa sahaja kehendak Lara yang lain. Begitu juga dengan tiga lagi teman-teman Minho iaitu Yonghwa, Shin dan Jihun. Mereka hormat dan patuh kerana menganggap Lara sebagai ketua mereka. Tetapi semuanya mengikut jejak Minho, tidak pernah sekalipun memanggilnya noona.
 
    Masa terus beredar dengan pantas. Mereka berdua sama-sama meningkat ke alam remaja. Entah bagaimana bermula, peranan antara Lara dan Minho sudah bertukar. Minho pula yang lebih banyak mendominasi kehidupan seharian gadis yang paling rapat dalam hidupnya itu. Anehnya, Lara yang memang dikenali sebagai gadis yang sikapnya agak lasak, seakan merelakannya. Sikapnya berubah mengikut arus perubahan sikap Minho.
    “Lav.”
Dengan selamba dan tanpa persetujuan terlebih dahulu, Minho menukar nama panggilannya terhadap Lara. Kerana itu, Lara membalasnya dengan memanggil Minho juga dengan gelaran yang baru.   
   “Mine.”
Akan tetapi nama-nama panggilan itu hanya mereka gunakan ketika berduaan sahaja. Akhirnya keakraban dan perasaan sayang antara Lara dan Minho sudah terlajak keluar daripada had yang sepatutnya. Pengakuan Minho yang memohon cintanya sebelum Lara berangkat ke Milan dahulu telah mengesahkan perasaan antara mereka yang entah sejak bila wujud.
    “I love you too.” Lara mengaku.
   “I love you more,” balas Minho.
 
    Hubungan yang bermula hanya sebagai sepupu tiri itu telah melarat dan membawa mereka berdua mengenali perasaan cinta, cemburu dan rindu. Keluarga tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Adat orang Korea yang tidak menerima cinta sesama sepupu telah diabaikan oleh Sang Woo yang berfikiran kebaratan. Dengan sokongan dan pujukannya, ahli keluarga lain terpaksa menerimanya juga. Keluarga sebenarnya berharap jarak dan waktu akan mengurangkan kegilaan dua remaja itu. Memudarkan perasaan yang mereka berdua mungkin keliru antara sayang sebagai saudara sepupu dengan perasaan cinta. Malangnya keadaan menjadi sebaliknya. Ketika kali terakhir Lara pulang bercuti ke sini dan Minho pula bakal menyertai agensi hiburan, keluarga sekali lagi gempar.
    “Apa?!”
Minho mendesak untuk mengahwini Lara dan meminta keluarga membenarkannya. Bimbang kejadian buruk akan berulang sekali lagi, keluarga tidak ada pilihan lain. Mereka terpaksa bersetuju sekali lagi.
 
    Atas permintaan Lara, perkahwinan itu tidak didaftarkan. Perkahwinan mereka menjadi perkahwinan tanpa lesen. Minho terpaksa bersetuju dengan syarat itu. Dia tahu Lara berbuat demikian demi masa depannya sebagai bakal idol. Dunia tidak boleh tahu yang dia sudah berkahwin. Netizen dan anti fan sekarang adakalanya boleh mengalahkan penyiasat profesional dalam mengorek rahsia seseorang idol. Selain itu, dia dan Lara juga akur dengan syarat yang ditetapkan oleh keluarga.
    “Hahaha!”
Dalam ketawa, dia dan Lara berjanji tidak akan tidur bersama. Tidak selagi usia belum cukup matang untuk memikul tanggungjawab perkahwinan yang sebenar-benarnya.
 
 
************
 
    Keluarga Puan Mijin menyambut kepulangan Lara dengan gembira sekali. Sudah pasti juga dia turut dileteri oleh mereka semua kerana kegemarannya yang suka pulang ke Seoul secara mengejut.
    “Ala, Lara bukan budak kecik lagi, dah besar.”
    “Sebab dah besar tu lah yang kena jaga,” omel neneknya. Mereka saling melepaskan kerinduan masing-masing. Sekurang-kurangnya rumah itu tidaklah terlalu sunyi dengan ketiadaan Minho. Anak muda itu sudah terlalu lama tidak pulang bercuti ke rumah ini.
    “Bila nak start kerja?” Yushin bertanya.
   “Hmm.. dua tiga hari lagi,” balasnya.
   “Cepatnya. Rehat la dulu. Tak penat ke?” Yushin menggelengkan kepalanya.
   “Kerja tu tak lari kemana. Bukan nak kerja ngan orang pun,” tambah Puan Mijin.
   “Ala rehat lama-lama pun bukan boleh buat apa,” jawab Lara perlahan.
Yushin dan ibu mertuanya saling berpandangan. Mereka segera faham akan maksud di sebalik kata-kata itu. Lara pastinya merasa kesunyian kerana Minho, Yonghwa, Shin mahupun Jihun tidak lagi dapat menemaninya seperti masa lalu.
 
    Lara berehat di teritori khas dia dan Minho. Ruang rehat yang terletak di bahagian atas rumah. Tempat kegemaran mereka berdua dan juga tiga sahabat yang lain apabila mereka berkumpul di rumah ini. Kerinduan kepada mereka berempat amat dirasai di saat dia bersendirian di sini.
    “Huh...” Dia mengeluh berat.
Biarpun masa dan keadaan sudah berubah, namun bagi Lara, ianya masih seperti baru semalam segalanya berlaku. Seperti ternampak pada pandangannya akan kelibat mereka berempat berkumpul di situ. Seakan terdengar-dengar gelak ketawa mereka apabila bergurau senda sambil menonton rancangan yang diminati bersama.
    “Mana kau orang?”
 
    Ternyata masa telah mendewasakan mereka semua malah turut memisahkan mereka dengan kesibukan jadual kerja masing-masing. Budak Lelaki Kegemaran Lara kini sedang berada di negara matahari terbit, iaitu Jepun. Kumpulan idol K Pop yang disertai oleh Minho dan empat lagi rakannya bakal mengeluarkan single dan video klip versi Jepun yang baru. Dia pasti lagu mereka itu nanti sekali lagi bakal mengusai Carta Oricon iaitu carta lagu-lagu popular negara Jepun.
   “Keluar single, album, promosi, berlakon, mengacara, konsert, berlakon iklan, menjadi duta jenama-jenama terkenal, bla bla bla...”
Lara membilang jadual kerja Minho yang seakan tidak ada waktu rehat langsung.
   “Kesian dia.”
Malah adakalanya kerja-kerja itu dibuat dalam masa yang sama dalam satu hari. Tidur selama tiga jam sahaja adalah biasa. Waktu tidur yang paling lama bukan di atas katil. Sebaliknya di tempat duduk di dalam van atau ketika dalam penerbangan. Kesibukan anak muda itu sebagai ahli kumpulan idol lelaki K Pop yang terkenal serta sebagai pelakon muda yang sememangnya digilai ramai, amat membataskan pertemuan antara mereka berdua.
   “Mahalnya harga yang aku kena bayar sebab bagi dia jadi idol.”