Saturday, 15 November 2014

Shh... Dia IDOL - 1


 

Daripada corong pembesar suara, kedengaran jelas sekali suara kapten yang sedang mengemudi pesawat. Kapten itu menyatakan yang mereka akan mendarat sebentar lagi ke bumi Seoul.
Akhirnya...
Nada dan kata-kata juruterbang itu sebenarnya kedengaran biasa sahaja. Namun tidak bagi seorang gadis yang sepanjang pernerbangan asyik menggelisah. Kata-kata juruterbang yang amat dinanti, kedengaran begitu lunak merdu sekali pada pendengarannya. Seperti seorang gadis mendapat panggilan daripada sang kekasih hati.
I love you, Captain.
Senyumannya sudah tidak dapat di hapuskan daripada wajah terujanya.
 
Penantiannya yang amat panjang, hampir berakhir. Sepanjang penerbangan dia tidak dapat melelapkan mata. Novel kesayangan di tangan, ditutup dengan cermat sebelum memasukkannya ke dalam beg silang miliknya. Memang menjadi tabiatnya akan membawa novel kemana saja dia pergi. Apatah lagi jika novel itu memang diminati.
Maaf ya novel, lain kali aku baca kau semula.
Buku cerita itu sudah pernah di baca lama dahulu. Itupun dipinjam daripada teman sekolah.  Sudah lama dia mencuba untuk mendapatkan naskah novel itu. Namun sebagai novel lama, ia bukanlah mudah untuk didapati.
“Wow! Bestnya!”
Dia teruja sewaktu pesanan novel ini sampai ke tangan. Ianya tiba sehari sebelum dia berangkat. Kini, apabila ianya sudah berada dalam genggaman, agak lucu kerana dia terpaksa mengulang membaca beberapa kali bab yang sama.
Apa yang aku baca tadi, ek?
Ternyata dia seakan tidak dapat menumpukan perhatian. Terlalu teruja barangkali dengan kepulangan ke Seoul ini yang tidak diketahui oleh keluarga di sini.
Mesti dia orang terkejut.  Hehe.
 
Tiba-tiba penumpang wanita tempatan yang duduk di sebelahnya, menegur. Oleh kerana dia antara penumpang yang paling akhir masuk ke pesawat ini, Lara tidak sempat berkenalan dengan wanita itu. Sebaik dia mengambil tempat duduk, wanita di sebelahnya itu sudah kelihatan amat letih. Sepanjang penerbangan wanita itu lena. Terjaga hanya untuk ke tandas sahaja. Ketika makanpun, wanita itu seperti tidak berminat hendak bersembang.  
"Datang melancong ke sini?"
Wanita itu bertanya dalam Bahasa Inggeris.
            "Oh, tak. Keluarga saya orang sini."
Dia membalas sambil tersengih. Wanita itu terkedu apabila mendengar dia berbahasa Korea.
Seronoknya dapat cakap Hangul balik hehe.
“Keluarga... orang sini?”
Wanita itu bertanya kembali dengan hairan. Mulutnya terkumat-kamit seakan mahu bertanya dengan lebih lanjut tetapi tidak jadi apabila Lara buat-buat sibuk mengemas barangannya. Dari hujung ekor matanya dia melihat wanita itu masih memandang ke arahnya.
            Nape? Tak percaya? Hehe.
 
 Ternyata jawapannya tadi telah membuatkan wanita itu sedikit bingung. Mungkin melihatkan raut wajah serta warna kulitnya, jawapannya tadi kelihatan seperti tidak kena. Apatah lagi dia membalas dalam bahasa Korea dengan pelat Seoul yang pekat.
Tak payah hairan lebih-lebih, saya ni memang pelik sikit.
Tindak balas demikian rupa memang sudah biasa dihadapinya semenjak kecil. Ibunya, Tina yang berbangsa Amerika telah berkahwin dengan orang Korea yang menetap di New York. Sang Woo sudah dianggap seperti bapa sendiri dan amat disayanginya. Salah faham seperti ini bertambah sering berlaku apabila dia berpindah ke Seoul dan dijagai oleh neneknya, Puan Mijin iaitu ibu Sang Woo.
           
Home sweet home.”
Lara menghirup udara di bumi Seoul yang amat dirinduinya. Selepas bertahun-tahun  berhempas pulas, akhirnya kini dia berjaya. Bukan senang untuk dia mengharungi segala rintangan dan kepayahan demi mendapatkan ilmu di kota Milan. Selepas habis belajar di kolej, dia mendapat tempat untuk membuat latihan praktikal di salah sebuah syarikat fesyen terkemuka dunia di Kota New York. Berdekatan dengan orang tuanya. Namun begitu memang dia sengaja tidak membuat latihan praktikal di syarikat kepunyaan ibunya sendiri. Malah selepas tamat latihan, kerana kecemerlangannya, dia ditawarkan jawatan tetap di situ. Dan dia telah menerimanya kerana beberapa sebab.
What?!”
Dan kerana keputusannya itu, ada seseorang yang merajuk sekali lagi dengannya.
 
Sepanjang tempoh pembelajaran dan bekerja di syarikat gergasi itu, terlalu banyak keringat dan airmata mengalir jatuh. Setimpal dengan segala ilmu berguna yang dapat dikutipnya. Berkat ketabahan dan usahanya yang tidak mengenal erti berputus asa, kini dia sudah bersedia untuk mempraktikkan segala ilmu dan pengalaman berguna yang telah dipelajari. Dia bakal menerajui perniagaan fesyen ibunya di sini. 
I’ll guide you. But only for three years. After that, you on your own. I’ll be your sleeping partner.”
“Tiga tahun je?”
Lara sedikit gusar. Namun Tina memang tegas dalam mengajar anak tunggalnya ini membina kerjaya. Kerjaya yang mereka sama-sama cinta, iaitu fesyen pakaian.
            “My Princess mesti boleh buat.”
Sang Woo memberi semangat. Lara hanya mampu tersenyum kurang gula.
 
Sebaik melangkah keluar daripada pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Lara menyedut udara bumi yang dicintainya dengan sepuas hati. Seakan mahu memastikan yang dirinya benar-benar sudah kembali semula ke tanah tercinta ini. Kepulangannya kali ini seperti juga seperti kepulangan-kepulangannya yang lalu. Ketika bercuti iaitu kepulangan mengejut tanpa memberitahu keluarga di sini.
“Halmum mesti akan marah lagi nanti, hehe.”
Halmum adalah panggilannya untuk ibu Sang Woo, Puan Mijin. Ianya diubah daripada perkataan halmeoni yang bermaksud nenek. Dia hanya memanggil nenek tua itu ‘halmeoni’ pada waktu kecemasan sahaja. Biasanya apabila dia merayu kerana mahukan sesuatu.
 
Setelah kesemua bagasinya selesai dimasukkan ke dalam teksi, dia merasa tidak sabar lagi untuk sampai ke rumah dan menerjah masuk bagi memeranjatkan ahli keluarga yang lain. Walaupun merasa teruja untuk menemui ahli keluarga, di dalam diam ada sedikit rasa sedih bersarang di dalam hatinya. Akan ada seorang yang tidak berada di rumah itu bagi menyambut kepulangannya nanti.
“Saya dah balik,” bisiknya pada angin lalu.
Moga angin itu akan membawa bisikannya itu terbang kepada manusia yang paling dirindui oleh hatinya.
MINHO.
Budak Lelaki Kegemaran sepanjang hidupnya sehingga kini. Biarpun Minho kini sebenarnya sudah menjadi lelaki dewasa. Tetapi bagi Lara, Minho tetap kekal sebagai Budak Lelaki Kegemarannya.
“Mine... Miss you.”
Entah bilakah wajah yang dirinduinya itu akan dapat ditemui semula.
           
 

 

Sunday, 9 February 2014

AKU SUKA DIA - 4

 
 
Perselisihan faham yang telah berlaku di antara dirinya dan juga keluarga pada malam itu, telah membawa kepada pertengkaran. Bagaimanapun itu bukanlah perkara baru bagi keluarga mereka. Kerana tidak mahu terus berada di situ, dia lantas meluru keluar dari rumah besar keluarganya itu. 

“Ian!!” Namanya dipanggil.

Namun dia sudah tidak peduli lagi. Enjin keretanya terus dihidupkan lalu pedal minyak terus ditekan.  Keretanya memecut laju keluar dari kawasan kediaman mewah itu.

“Aaahhh!!”  jeritnya.

Cuba untuk melepaskan perasaan kecewanya.

Bunyi muzik yang berdetum dentam dari stereonya jelas kedengaran hingga ke luar kereta.  Perasaan kecewa dan marahnya belum reda.  Wajahnya yang serius itu menggambarkan gelora di dalam dadanya. 

“Aaahhh!!”  jeritnya lagi.

Jika ada orang ajak bertumbuk ketika ini, dia pasti tidak akan menolak.  Malah mungkin dia akan merasa gembira.  Dia memerlukan seseorang atau sesuatu untuk dijadikan korban sebagai punching bag untuknya.  Setakat ini hanya keretanya yang menjadi mangsa.

Kereta jenis BMW itu terus dipandu dengan laju, tanpa sebarang arah tujuan.  Malah dia kurang pasti di manakah dia sedang berada.  Atau bagaimana dia boleh sampai ke situ.  Yang pasti dia tidak mempunyai sebarang kawan yang tinggal di kawasan ini.  Kawasan yang berhampiran dengan kolejnya.

            Akhirnya di hujung perjalanan itu, dia telah hampir-hampir membahayakan nyawa dirinya sendiri dan juga seseorang.  Kerana tidak fokus semasa memandu telah membuatkan dia lambat sedar akan kewujudan bahaya di hadapan.

            “Huh?!” Dia terkejut.

            “Scree..eett!!” Brek kereta ditekan mengejut.

Seakan dikejutkan dari mimpi, dia telah mencuba sedaya upaya untuk mengelak sesuatu atau seseorang yang berada di atas jalan raya itu.  Kecekapannya mengawal kereta berjaya dari mengelakkan keretanya berpusing-pusing atau terbalik.

            “Bang!!”

Keretanya berhenti selepas memberi ciuman ringan kepada pembahagi jalan.  Rasa bersyukur kerana terselamat membuatkan dia terlupa akan api kemarahannya tadi.  Setelah menjenguk sebentar ke bahagian hadapan keretanya, dia segera pergi mendapatkan gadis itu.

            Tanpa di duga, itu rupanya adalah gadis yang sama yang telah menyinggung dan menggores egonya sebagai seorang kasanova tempohari. Pertemuan yang berlaku dalam keadaan yang agak pelik. Pelik kerana dia telah memperdayakan gadis itu sehingga terpaksa mengikutnya ke hospital. Lebih pelik kerana dia sendiri tidak pasti mengapa dirinya boleh bertindak sedemikian rupa. Apa-apapun, peristiwa itu telah terjadi dan kini menjadi sejarah. Hujung pertemuan mereka yang lepas itu terbayang di ingatannya.

"Tak nak tahu nama saya ke?" soalnya.

Dia merasa hairan kerana gadis itu langsung tidak bertanya tentang namanya. Berbeza dengan gadis-gadis lain. Gadis yang sudah hendak melangkah, segera berpaling semula.

            "Pe.. perlu ke?" soal gadis itu kembali.

Soalan gadis itu ternyata menghangatkan hatinya secara tiba-tiba.

            Titisan hujan yang mula mengenai lengannya membawa dia kembali semula kepada kenyataan. Kenyataan yang dia hampir melanggar gadis itu.

“Dia ni lagi,” desis hatinya.

Gadis itu  kelihatan gementar sekali.  Biarpun sedar yang dirinya turut bersalah kerana memandu laju di kawasan sebegitu.  Namun apabila melihat gadis yang tidak berdaya melawan itu, dia telah mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya.

“Ian, teruk betul kau ni,” kutuknya sendiri.

            Seperti orang yang sakit dihulurkan ubat, dia mendapat idea nakalnya.  Gadis itu akan dijadikan mangsa keadaan.

            Too bad, kau muncul depan aku salah masa.  Dah sekarang kau bakal jadi punching bag aku,” bisik hatinya.

Secara paksa, dia menahan gadis itu bersamanya.  Biarpun pada awalnya, dia sendiri terkejut dengan apa yang sedang dia lakukan. 

“Kau gila, Ian.  Habis tu sekarang apa?” soal dirinya sendiri.

Just wait and see,” balas satu lagi suara dalam dirinya.

Sedangkan, kalau nak ambil kesempatan melepaskan marah, boleh saja dia menjerit dan menengking gadis itu di situ juga.  Tidak perlulah dia bersusah payah.  Malah terpaksa pula mengangkat dan mengangkut basikal milik gadis itu bersama.

            Mahu kata dia perlukan teman bercakap buat sementara, boleh saja sebenarnya dia mencari kawan-kawannya itu.  Lebih-lebih lagi sekarang mereka mungkin sedang berada di kelab bersama gadis-gadis jelita.

            “Kenapa aku mesti buang masa dengan perempuan ni?”

            “Perempuan yang hmm.. not my taste.”

Namun anehnya, fikiran dan kelakuannya tidak sehaluan.  Biar tidak logik sekalipun, dia merasa gembira dan puas melakukannya.  Bagaimanapun, selepas beberapa lama mendera mental gadis itu, perasaannya tidak seseronok seperti yang dibayangkan sebelum ini.  Malah dia mula merasa bersalah pula. 

Agak lama juga masa dia terpaksa ambil untuk menjernihkan fikirannya.  Bagi memikikan apa yang patut dilakukan selepas  ini.

“Apa kau buat ni, Ian?”

“Itulah, kalau kau blah awal-awal tadi, tak delah perkara ni melarat sampai sekarang.”

Now what?”

Dia terus berdailog bersendirian.  Ketika  itu dia meninggalkan gadis itu tersebut berseorangan di dalam keretanya.  Manakala dirinya pula, asyik berdiri duduk di bahagian belakang bangunan kedai serbaneka stesyen minyak itu. 

“Alang-alang dah berlakon suruh dia bayar, tak kan tiba-tiba nak kata tak payah bayar pulak.  Macam senang benar, aku ni.”

“Tapi…”

“Betul ke airmata  dia  tadi?  Ke berlakon macam aku jugak?”

“Tapi suara ngan tangan dia real punya menggeletar tadi.”

“Tangan dia.. luka-luka.”

Sesi berbahas bersendiriannya masih berjalan di tepi dinding yang agak malap cahayanya itu.  Nasib baik orang tidak ada ramai orang yang lalu lalang di situ.  Maklumlah cuaca sejuk macam sekarang ini.  Kalau tidak pasti orang akan memandangnya dengan pelik. 

“Kalau orang tengok, mesti kata aku gila dok kat sini hujan-hujan ni.”

“Nak kata merokok, aku tak hisap rokok.”

Dia sememangnya sedang duduk bangun dalam gelap itu seorang-seorang.  Tanpa berbuat apa-apa.  Hanya berfikir, duduk, bangun dan mengeluh.  Seolah-olah masalahnya itu masalah besar sangat-sangat.

“Tink!!”

Ideanya sudah datang.  Kini dia melangkah ke kereta dengan senyuman.  Sebelum itu dia masuk ke dalam kedai itu untuk membeli beberapa barang.

Sebaik sahaja menghantar gadis itu pulang dengan selamat, dia terus memandu untuk pulang ke rumahnya pula.  Tetapi keadaan dan cara pemanduannya kini berlainan sekali dengan cara pemanduannya sebelum bertemu dengan gadis itu tadi.  Pendek kata, sebelum kemalangan tadi. Tadi dia asyik memecut dengan lajunya.  Kini pula adalah sebaliknya.  Fikirannya melayang mengingati gadis bernama Hara itu.  Tanpa sedar dia membawa kereta ala-ala orang yang sedang  berdating.

Sebaik memasuki rumah, semua penghuninya sudahpun masuk tidur.  Secara otomatik, dia kembali teringat akan kejadian pada petang tadi.  Pertengkaran yang kini membuatkan hatinya kembali panas.

“Tink!!” 

Ideanya datang lagi.

            “Hara.. Hara…”

Kemudian satu senyuman nakal terukir pada bibirnya.

            “Hara.. kau terpaksa aku jadikan mangsa sekali lagi.  Sorry.”

Sunday, 29 December 2013

AKU SUKA DIA - 3

 
 Hujan sudahpun turun renyai-renyai. Cuaca menjadi semakin dingin. Suasana malam kelihatan semakin suram. Restoran mamak dan kedai kopitiam juga lengang daripada biasa. Tidak ramai orang yang suka keluar pada waktu begini. Kebanyakannya mungkin lebih suka duduk bermalasan di dalam rumah sahaja.

Jika ada pilihan, Hara juga mahu segera berada di bawah selimutnya. Paling tidak duduk di hadapan komputer membuat kerja sambil mengenakan satu mug air coklet panas. Namun apakan daya, takdir seakan mengikat dia bersama pemuda di sebelahnya. Buat kedua kalinya dia terperangkap di dalam kereta ini.

Kerana hujan yang sudah mulai menitis tadi, pemuda itu dengan selamba, telah mengangkut basikalnya ke dalam bonet.  



“Eh, awak nak buat apa tu?” Dia risau.

“Masuk dalam kereta,” arah pemuda itu.

“Kita, kita selesai kat sini je lah,” rayunya.

“Dahlah buat kereta saya kemek. Now, nak suruh saya berhujan pulak? Awak siapa?” Suara pemuda itu mula meninggi.

Tergamam mendengarkan nada suara itu, Hara tidak ada pilihan. Memang dia yang bersalah kali ini. Salah yang lebih besar. Biarpun daripada mata kasar ianya adalah kemalangan. Tetapi jika dia lebih berhati-hati tadi, In Sya Allah dia sudah sampai rumah dengan selamat.

Dengan teragak-agak, dia masuk ke dalam kereta itu dan duduk di sebelah tempat pemandu. Pemuda itu lantas memecut keretanya dengan laju.  

“Dia ni memang racer ke? Drive mesti macam nak drift.” Hati Hara terdetik.
Mereka kini berhenti dan menumpang di bawah bumbung stesyen minyak berdekatan. Basikal Hara masih berada di dalam bonet kereta yang tidak dapat ditutup itu.

“Saya tanya ni, macamana awak nak bayar?” soal pemuda itu.
Itu adalah pertanyaanya yang kedua kalinya.  

 “Saya, saya betul mintak maaf. Saya tak sengaja...” Hara membalas perlahan.

 “Huh!” Pemuda itu sinis.

Hara tunduk memandang sampul surat besar berisi tugasannya yang sudah koyak rabak dan kotor. Sebahagian isi di dalamnya yang bertaburan tadi juga sudah kotor dan lembab. Jari jemarinya yang masih menggeletar itu menguis-nguis hujung sampul surat itu.

 “Saya tak mungkin mampu bayar awak sekarang. Saya...” Hara mati ayat.
 “Habis tu, sekarang macamana?” suara pemuda itu agak keras.

 “Saya.. saya...” Suaranya bergetar.

Dalam keadaan begini apalah yang dapat dilakukan oleh gadis yang malang sepertinya. Tidak mungkin dia dapat membayar pemuda itu. Tidak ada sesiapa juga yang boleh dia meminta tolong untuk menjelaskan bagi pihak dirinya.

 “Abah.. tolong Hara...” serunya di dalam hati.

Namun kenyataannya, orang yang diseru itu, tidak mungkin lagi akan dapat menolongnya. Masa sudah berubah, keadaan juga sudah lama tidak sama.

Perasaan gementar, bersalah dan juga sebak kini bercampur baur. Tanpa dapat dikawal, airmatanya mula menitis laju. Hara cuba sedaya upaya menyapu airmatanya sambil memandang ke arah luar. Namun sendunya tidak mungkin dapat disembunyikan.
“Tolonglah jangan nangis,” tegas pemuda itu.
“Hish!” degusnya.

Pemuda itu lantas sekali lagi menyandarkan badannya ke tempat menyandar dengan agak kasar. Buku limanya digenggam rapat lalu stereng kereta menjadi mangsa yang tidak berdosa. Ternyata dia memang tidak suka melihat perempuan menangis di hadapannya.

 Suasana di dalam kereta itu menjadi hening seketika. Di luar sana hujan yang turun masih lagi lebat.  

 “Saya akan cuba bayar awak. Tapi...” Hara kembali bersuara.
Suaranya masih kedengaran bergetar.

“Saya cakap betul, saya tak mampu bayar awak sekarang. Saya betul-betul tak mampu,” tambahnya lagi.

Pemuda itu tidak menjawab. Hara juga tidak berani memandang ke arahnya. Agak lama pemuda itu mendiamkan diri. Perut Hara semakin kecut.

 “Apa ni?” soal pemuda itu.

Sampul surat yang berada di atas riba Hara dicapai tanpa keizinan. Hara tidak berani untuk menghalang.  

“Hara? Siapa Hara? Awak?” soal pemuda itu lagi.

Hara hanya menganggukkan kepalanya. Namanya yang terdapat pada sampul surat yang koyak itu masih boleh dibaca.

Tanpa dapat berkata apa-apa, Hara hanya mampu melirik sesekali melihatkan pemuda itu mengeluarkan isi sampul itu dan membelek-beleknya.

“Apa ni?” soal pemuda itu lagi.
Jelas dia mungkin tidak faham apakah kaitan isi kandungan sampul itu dengan gadis seperti Hara. Hara tidak terkejut dengan soalan itu.

“Kerja,” balas Hara perlahan.

“Kerja?” Pemuda itu tidak puas hati.

Hara sekali lagi menundukkan wajahnya.

“Saya kerja part time,” jawab gadis itu.

Merasakan yang pemuda itu masih memandangnya, maka dia menyambung,

“Tiap-tiap hari saya kena taip semula dokumen-dokumen macam ni,” terang Hara.

Pemuda itu kembali terdiam. Dia memandang Hara dan dokumen di tangannya silih berganti. Seakan mencari kebenaran atau logiknya kata-kata Hara itu. Mungkin dia juga kini seperti orang lain. Tertanya-tanya bagaimana pelajar yang sama kolej dengannya, kena membuat kerja sambilan?

Tidak berapa lama selepas mendiamkan diri, tiba-tiba pemuda itu membuka pintu kereta di sebelahnya.

“Tunggu sini,” arahnya.

Hara hanya mampu memandang pemuda itu menghilangkan diri di sebalik bangunan kedai serbaneka stesyen minyak itu.
“Ke tandas ke dia?” Hara tertanya-tanya sendiri.

Ketika itu timbul akal jahatnya.
“Kalau aku lari, sempat ni.” Matanya bersinar.
“Tapi basikal kat belakang, cam berat je nak angkat turun.” Dia berpaling ke arah belakang.

“Astagfirullahaladzim.. tak baiknya aku.” Dia sedar semula.

Sedar yang dia harus bertanggungjawab biarpun pahit untuk dihadapi.
Fikirannya kembali memikirkan apakah yang harus dilakukan bagi membolehkan dia menjelaskan tuntutan pemuda itu. Dadanya masih sesak, perasaannya kembali sebak. Kereta semewah BMW ini pasti akan menelan ribuan ringgit apabila dibaiki. Walaupun rosaknya tidak setara mana. Jikapun dia bernasib baik majikannya membayar habis upah tertunggaknya, pasti tidak dapat banyak membantu. Lagi pula dia memerlukan upahnya itu untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan hariannya.

Apabila dugaan-dugaan yang datang bersilih ganti ini terjadi, keteguhan semangatnya menjadi goyah. Tipulah jika dia mengatakan yang dia tidak pernah berfikir untuk berhenti daripada kolej. Namun kerana janji dan harapan orang yang tersayang, dia harus bertahan sedaya mungkin.

“Kalau kita sabar, In Sya Allah ada jalan.” 

Kata-kata semangat itulah yang terus menyabarkan dirinya selama ini.
Tiba-tiba pintu kereta di sebelah pemandu dibuka seseorang. Tuan punya kereta masuk semula ke dalam keretanya. Barulah Hara perasan yang agak lama juga pemuda itu menghilang.
“Nah,” kata pemuda itu.

Tangannya menghulurkan sekotak air minuman kepada Hara beserta dengan krim sapu berubat untuk luka luaran. Rupa-rupanya matanya yang tajam itu telah dapat mengesan beberapa luka di tangan gadis itu. Mungkin luka semasa jatuh di atas jalan raya tadi. Dengan teragak-agak, Hara mengambil barang-barang tersebut. Malah hati kecilnya turut merasa terharu.

Thanks,” balasnya perlahan.

“Minum,” arah pemilik kereta itu.

Hara menurut perintah itu tanpa berani untuk membantah.

“Banyak mana awak dapat taip benda setebal tu?” tanya pemuda itu.

Dia merujuk kepada dokumen tebal di atas riba Hara.
“Tak tentu. Cepat siap, In Sya Allah dapatlah lebih,” balas Hara jujur.

“Tapi.. ni dah rosak.. kotor...” Suaranya bertambah perlahan.

Tangannya menggosok-gosok dokumen yang sudah kotor dan sedikit terkoyak itu. Melihat akan keadaan dokumen itu, menyedarkan dia akan kenyataannya. Satu lagi masalah bakal dihadapinya esok.

“Silap gaya dia takkan bayar aku langsung,” keluhnya dalam diam.

Dapat dibayangkan bagaimana nanti majikannya itu akan naik angin. Harapannya yang berkobar-kobar tadi untuk mendapatkan upah yang lebih, kini hanya tinggal sejarah.

Melihat akan gadis di sebelahnya itu tenggelam dalam lamunan, membuatkan pemuda itu kembali bersuara.
 
“Kenapa? Kena tolak upah awak ke?”

Kata-kata itu sebenarnya hanyalah kata-kata gurauan. Namun apabila melihat anggukan lemah daripada Hara, dia terpaku. Dengan serta merta ianya telah memadamkan senyuman daripada wajah tampannya.

Keadaan hujan di luar sana sudah mula beransur reda. Manusia di dalam kereta itu pula, kini kembali membisu seribu bahasa. Hara seumpama seorang pesalah yang sedang menunggu hukuman apakah yang bakal dijatuhkan ke atasnya.

“Awak, saya mintak maaf sekali lagi pasal kereta ni. Tapi terus terang saya cakap, saya mungkin terpaksa hutang awak bertahun-tahun...” ujar Hara lemah.

“Bagi phone awak,” pintas pemuda itu.

“Huh?” Hara hairan.

Tetapi tanpa membantah, telefon bimbitnya dikeluarkan. Kemudian dihulurkan kepada lelaki di sebelahnya itu.

Phone saya ni murah, tak ada harga pun kalau awak nak jual,” ujar Hara.

 “Hai, phone zaman bila awak pakai ni?” Pemuda terasa lucu.

Sudah lama benar dia tidak melihat telefon bimbit jenis lama seperti kepunyaan Hara itu. Malah dia sudah terlupa yang telefon bimbit model seperti itu pernah wujud satu ketika dahulu. Memang sekarang rasanya ia sudah tidak ada lagi di dalam pasaran.

“Hmm...” Pemuda itu merenung ke arah telefon bimbit itu.

Berkerut juga dahinya cuba mengingati cara penggunaan telefon bimbit itu. Hara memerhati tanpa bersuara. Setelah dapat apa yang dicari, pemuda itu terus menekan butang-butang pada permukaan telefon itu.

“Grrr.. grrr.. grrr...” Bunyi telefon bimbit pemuda itu kedengaran.

“Ini nombor dan nama saya. Call saya esok. Kita akan tahu cara awak boleh bayar ganti rugi,” kata pemuda itu.

Dengan wajah yang redup, Hara mengambil semula telefon bimbit miliknya itu. Dia sempat melihat nombor dan nama pemuda itu.

“Ian Zachry,” bacanya di dalam hati.
Kemudian dia meminta diri untuk beredar dari situ.

“Tapi saya nak mintak tolong awak turunkan basikal saya tu,” pinta Hara.

“Huh...” Ian Zachry mengeluh.

“Tak, tak apalah. Saya turunkan sendiri,” Hara salah sangka.

Wait!” Tiba-tiba pemuda itu bersuara.

Hara yang sudah membuka pintu, segera berpaling.

“Tutup pintu,” arah pemilik kereta itu.

 Walau agak keberatan, Hara menurut. Namun apabila kereta itu mula bergerak, Hara menjadi panik.

“Awak, saya kena balik,” rayu Hara.

“Tunjuk jalan,” kata pemuda itu.

Barulah Hara sedar yang pemuda itu sebenarnya berniat hendak menghantarnya pulang. Seperti dapat membaca apa yang sedang berlegar di fikiran Hara, Ian Zachry bersuara sambil terus memandu.

“Dah lewat sangat ni. Bahaya,” tegas pemuda itu.

“Kat gas station tadi, sah orang dah nampak kita dua. Apa-apa jadi kat awak tengah jalan, tak pasal-pasal karang, saya kena tuduh,” luah pemilik nama Ian Zachry itu.

Mendengarkan kata-kata pemuda itu, Hara terasa sedikit lega. Sebenarnya dia juga agak takut bersendirian di luar pada waktu lewat sebegini. Tetapi tadi, jika tidak ada pilihan, dia terpaksalah bertawakkal.

Ini adalah kali pertama Hara memberitahu di mana dia tinggal kepada seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

“Betul ke apa yang aku buat ni?” Dia ragu-ragu.

Selama ini hanya Fajar seorang sahaja pemuda yang tahu di mana dia tinggal. Sudah beberapa kali pemuda itu mengambil dan menghantarnya pulang.
 
“Okey, stop,” ujar Hara.

Seperti diminta, Ian Zachry segera memberhentikan keretanya di hadapan deretan rumah teres dua tingkat. Dia turut menurunkan basikal Hara dari dalam bonet keretanya. Walaupun Hara tidak nyatakan, dia tahu gadis itu bersedih melihat keadaan basikal itu yang rosak.

Thanks,” ucap Hara.

“Bersih dulu luka-luka tu, baru sapu ubat,” pesan Ian Zachry.

Hara hanya mengangguk dan mengucapkan terima kasih sekali lagi.
 
“Masuklah.” Pemuda itu mahu memastikan Hara selamat hingga ke hadapan pintu.
"Tak apa, awak jalanlah dulu. Tak elok orang tengok kita lama kat sini,” balas Hara.

Ian Zachry segera memahaminya lalu segera beredar dari situ.

Selepas kereta pemuda itu hilang dari pandangan, Hara segera melajukan langkah mengheret basikal rosaknya. Dia tidak menuju ke salah sebuah rumah di tempat yang diturunkan Ian Zachry. Sebaliknya ke blok belakang.

Sorry, Ian Zachry. Kita baru kenal. Awak tak boleh tahu yang mana satu rumah sebenar saya,” kesalnya.

Jauh di sudut hati, dia merasa sedikit bersalah kerana telah menipu pemuda itu tadi.

 


Saturday, 12 October 2013

AKU SUKA DIA - 2



 



Sudah penat dia merayu minta diturunkan dari kereta itu.  Ternyata pemuda di sebelahnya itu langsung tidak mengendahkan permintaanya. Kalau diikutkan hati, boleh saja dia menarik brek tangan kereta ini. Tetapi dia masih waras. Kelajuan kereta ini menghalangnya. Dia sedar dan tahu tindakan itu boleh menyebabkan mereka berdua terlibat dengan kemalangan jalanraya yang serius.

"Saya nak cepat.  Don’t worry, awak boleh pergi bila kita dah sampai nanti." Pemuda  itu berkata selamba.

Pelik bin ajaib, dia boleh percayakan cakap pemuda yang langsung tidak dikenalinya ini.  Pada hal dia tahu dia tidak sepatutnya begitu. Malah sebelum ini dialah orangnya yang amat susah hendak percayakan orang.

            “Hospital?” desisnya tiba-tiba.

Hara mula kehairanan apabila pemuda itu membelokkan keretanya memasuki perkarangan salah sebuah pusat perubatan terkenal di ibu kota ini.  Hospital swasta yang berprestij.

"Jom," ujar pemuda  itu.

Kereta diletakkan di tempat letak kereta bawah tanah. Terkedu dan kehairanan, Hara mengikutnya keluar daripada kereta.  Mereka memasuki ruang lobi hospital terbabit.

            "Kalau awak nak balik dulu, silakan.  Kalau tunggu kat sini, saya antar awak balik," ujar pemuda itu lagi.

Belum sempat Hara menjawab, pemuda itu sudah melangkah pergi dengan tergesa-gesa.  Hara melihat pemuda itu melangkah ke arah lif yang menuju ke bahagian wad-wad pesakit.

            "Siapa yang sakit?" Hatinya tertanya sendiri.

            Selepas bayangan pemuda itu lesap, perlahan-lahan Hara melangkah keluar dari lobi dan menjenguk ke arah jalan besar. Wajahnya seperti orang yang tidak bersemangat.

"Boleh tahan jugak jam," keluhnya.

Fikirannya sibuk membuat pengiraan.  Dia mengira berapakah tambang akan dikenakan ke atasnya jika dia mengambil teksi untuk pulang ke kolej. 

"No, no. Tak mampu aku."

Kemudian dia melihat jika terdapat bas yang melalui kawasan itu.  Setakat ini, masih belum kelihatan lagi.  Lantas dia mengambil keputusan untuk bertanya kepada kekitangan hospital itu.

"Terima kasih," ucapnya.

"Sama-sama," balas jururawat itu.

Memang ada bas tetapi bukan di sini.  Dia harus berjalan agak jauh untuk ke tempat menunggu bas.  Tetapi bas itu hanya menuju ke arah pusat bandar sahaja.  Bermakna apabila tiba ke pusat bandar, dia harus mengambil bas lain pula kerana kolejnya terletak di laluan berlainan.

            "Fuhh…" Dia melepaskan nafas yang berat.

            Hara berpaling dan memandang semula ke arah bahagian dalam lobi hospital.  Itu adalah pilihan ketiga baginya. Untuk pilihan ini, perasaan ego dan marahnya harus dibelakangkan.

"Kalau tunggu kat sini, saya antar awak balik."  Kata-kata pemuda itu tadi kembali terngiang-ngiang di telinganya.

Buat seketika dia mundar-mandir di luar lobi itu sambil berfikir. Membelakangkan rasa ego dan marah memang senang diucap. Tetapi agak berat untuk dibuat.

“Nasib aku kena jimat duit. Kalau tak, tak ingin aku tengok muka dia lagi,” gumamnya sendirian.

Sekali lagi dia membuat tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini.  Mempercayai kata-kata pemuda itu.

            “Aku gila...” ngomelnya sendirian.

Satu jam telah berlalu.  Hara masih duduk di sofa empuk yang sama di lobi itu.  Dia menyibukkan diri dengan buku nota yang berada di dalam begnya. Sekali-sekala dia memerhati jika kelibat pemuda tadi muncul. Hampa. Dia kembali kepada buku notanya.

"Awak percaya saya?"  Tiba-tiba ada satu suara menegurnya.

Hara mengangkat muka.  Rupa-rupanya pemuda itu sedang berdiri memandangnya.  Kemudian turut mengambil tempat di sofa sebelah Hara.

            “Dia ni jin ke apa? Tadi aku tengok, tak ada. Tiba-tiba je muncul,” desis hati Hara.

            "Tak terfikir ke kalau saya tipu?  Saya keluar sembunyi-sembunyi ke?"  soal pemuda itu.

Hara tidak tahu apa harus dikatakan.

            "Atau kalau lepas ni saya bawak awak lari entah mana-mana ke?  Berani awak ikut saya semula?" Pemuda itu terus menakutkan Hara.

Gadis itu masih mendiamkan diri.

"Saya ni bukan baik sangat…" tambah jejaka itu lagi.

"Saya percaya awak," balas Hara.

Pemuda itu terus terdiam.  Hara memasukkan semula buku notanya ke dalam beg.

            “Sebenarnya aku tak ada pilihan, lah,” desis Hara dalam hati.

            "Ehem.. jom," ajak pemuda itu.

Seperti yang dijanjikan, pemuda itu menghantarnya semula ke kolej mereka.  Dalam perjalanan, masing-masing membisu dan melayan perasaan sendiri.  Apabila tiba di kolej, Hara segera mahu keluar dari kereta itu.

"Thanks," ucapnya sambil menutup pintu kereta.

Walaupun dia tahu yang bukan salah dia seratus peratus dalam hal ini.  Jika pemuda itu tidak memaksanya ikut sekali, maka tidak perlulah mereka berada di dalam keadaan sekarang.

            "Tak nak tahu nama saya ke?" soal pemuda itu tiba-tiba.

Hara yang sudah hendak melangkah, segera berpaling semula.

            "Pe.. perlu ke?" Dia serba salah.

Mendengarkan kata-kata yang tidak terduga daripada mulut Hara, wajah pemuda itu terus berubah.  Tanpa menunggu lebih lama, pemuda itu terus menutup pintu keretanya dan memecut pergi dari situ.

"Kurang ajar sangat ke aku tadi?"  Hara mula menyesal.

Dia sebenarnya tidak kisah untuk mengetahui nama pemuda itu.  Tetapi dia tidak selesa jika pemuda itu bertanyakan namanya pula.  Entah mengapa, dia kurang gemar memberitahu namanya kepada orang yang tidak berapa dikenali.

Malam itu Hara merayu agar majikan tempat dia bekerja membayar gajinya yang sudah lama terlewat dibayar. 

"Tolonglah, saya nak kena bayar sewa rumah," rayu Hara.

Selepas berfikir, majikannya itu telah memberikan duit sebanyak dua ratus ringgit.  Hara terkejut.  Jumlah gajinya sepatutnya adalah lebih daripada itu.

            "Baki, nanti.  Tapi kalau kau berhenti, memang kita orang tak akan bayar langsung," ugut majikannya itu.

Tidak ada pilihan, Hara mendiamkan diri.  Dia tahu ini adalah tidak adil untuknya.  Namun dia masih berharap agar majikannya menepati janji. 

Tugasnya adalah menaip dokumen. Maklumat di atas kertas akan dijadikan soft copy.  Kerja itu tidak berat tetapi memerlukan dia duduk mengadap komputer berjam-jam lamanya. Mengikut perjanjian mulut yang telah dibuat di antara dia dan majikannya dahulu, upah yang akan dia terima tidak akan tetap. 

“Lagi banyak kerja, lagi banyak dapat,” terang majikannya.

Bermakna upahnya bergantung dan mengikut berapa tebal dan berapa banyak tugasan yang dapat diselesaikan dengan sempurna.  Kadar upahnya juga lebih tinggi berbanding dengan bekerja di kedai-kedai biasa.

Beberapa bulan yang pertama, majikannya memang menepati janji. Bayaran yang diterima amat memuaskan. Membuat Hara tidak henti tersenyum riang. Dapatlah juga dia meringankan beban kewangannya. 

“Umi guna duit umi tu, tak payah bagi Hara.  Gaji Hara masih cukup,” ujarnya.

Dia tahu pendapatan ibunya itu tidak seberapa. Cukup-cukup saja. Duit itu jugalah digunakan bagi membayar sewa rumah dan ansuran kereta terpakai mereka. Mendengarkan kata-kata anak gadisnya ibu Hara merasa lega.

“Jimat, jangan boros, Hara,” pesan ibunya.

Namun semenjak dua menjak ini, keadaan sudah mulai berubah. Semakin kerap bayaran upahnya tertangguh dari tarikh yang sepatutnya. Adakala tarikh bayaran bertepatan tetapi dibayar dengan jumlah yang tidak mencukupi.

Semenjak peristiwa hitam melanda keluarganya, Hara kehilangan ramai kawan. Nurul dikenali selepas dia berpindah sekolah ketika zaman sekolah menengah mereka. Nurul tidak menyambung pelajarannya. 

“Aku tak pandai manapun.  Baik kerja,” ujar Nurul.

Gadis itu sekarang sudah bekerja di sebuah syarikat di pusat bandar.  Kerana keadaan dan waktu yang kurang mengizinkan, mereka jarang dapat berjumpa.  Tetapi masih sentiasa berhubung dan bertanya khabar. 

Hara mengayuh basikal miliknya dengan laju sekali.  Dia baru sahaja pulang dari menghantar tugasan yang telah siap kepada majikannya.  Di dalam bakul basikalnya kini ada tugasan baru yang agak tebal.

“Moga aku ada rezeki lebih.”  Dia gembira.

Pejabat majikannya memang dibuka sehingga pukul 9 malam. Ini kerana ramai pekerja sambilannya adalah pelajar seperti dirinya yang hanya lapang pada sebelah malam.

Angin semakin kuat bertiup, menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.

"Aku kena cepat, kalau hujan turun, naya," desisnya.                   

Kelajuan kayuhannya ditambah.  Kertas tugasan barunya itu tidak boleh terkena hujan.  Kalau basah, rosak, dia akan dimarahi dan upahnya akan ditolak.

“Tolonglah jangan hujan lagi, tolonglah,” doanya.

Kakinya sudah terasa sedikit lenguh tetapi dia tidak boleh perlahan.  Biarpun di hadapan itu terdapat selekoh yang agak tajam. 

“Sikit je lagi, Hara,” Dia memberi semangat kepada dirinya sendiri.

Hara memang sudah biasa dengan jalan ini.  Ini bukan jalan utama, maka tidak banyak kenderaan yang melalui jalan ini.  Terutama dalam cuaca begini.  Tetapi Hara tidak ada pilihan.  Ini adalah jalan pintas baginya. 

“Scree..tt!!  Tayar basikalnya bergesel dengan jalan. 

Hara sudah tidak ada pilihan lain.  Dengan segera dia melepaskan basikalnya itu.  Jika dia tidak bertindak begitu, mungkin akan lagi membahayakan dirinya.  Beg yang berisi tugasannya telah tercampak ke tepi.  Begitu juga dengan dirinya.

"Argh!  Aduh!" Dia mengaduh.

Tanpa disangka-sangka, pada masa itu tiba-tiba muncul sebuah kereta dari arah yang bertentangan.  Sekali lagi Hara panik.  Dia berusaha untuk bangun dari situ bagi menolak basikalnya yang berada di tengah jalan itu ke tepi.  Namun semuanya sudah terlambat.

“Scree..eeett!!”  Bunyi kereta itu membrek mengejut dengan kuatnya.

 “Ya Allah!” jerit Hara.

Kereta itu berjaya mengelak dari melanggarnya. 

            "Bang!"  Bunyi perlanggaran kedengaran.

Namun kereta itu  tidak berjaya mengelak dari terlanggar basikalnya sebelum melanggar pembahagi jalan.

            "Argh…"  Bersusah payah Hara cuba bangun berdiri. 

            Pemandu kereta datang menerkam ke arahnya.  Hara menjadi kecut.  Dia tahu pasti dia akan menerima maki hamun lelaki itu sebentar lagi.

            “Maaf, maaf, maaf...” Entah berapa kali perkataan itu keluar dari mulut Hara.

            "Awak okey?  Nak panggil ambulan?"  soal lelaki itu.

Hara terkejut dengan keprihatinan lelaki itu.

            "Tak.. takpe.  Sikit je.  Er.. saya.. mintak maaf, maaf sangat-sangat," Hara masih gementar.

Dia masih tidak berani untuk memandang wajah lelaki itu.  Namun perasaannya sedikit menjadi lega kerana lelaki ini nyata seorang yang bertimbang rasa.  Tidak marah-marah seperti kebanyakan pemandu lain yang terlibat dalam kemalangan.

            Dalam kegelapan malam itu, cahaya lampu jalan berdekatan samar-samar menyuluh ke  arah kereta lelaki itu.

            "Macam pernah tengok kereta tu." Hati Hara berbisik.

Namun dalam masa yang sama, suara lelaki itu kedengaran lagi.

            "Awak?!"

Kali ini Hara mendongak dan memandang ke arah wajah lelaki tersebut.  Sekali lagi cahaya lampu jalan yang samar-samar itu membantu penglihatannya.

            "Huh!  A.. Awak?!"  Dia pula yang terkejut.